Mengangkat ihsan sebagai landasan keadilan dan kesejahteraan dalam masyarakat madani
Keywords:
Ihsan, MADANI, Keadilan, Perpaduan, TamadunAbstract
Artikel ini meneliti konsep Ihsan dan penerapannya dalam masyarakat, dengan merujuk kepada sumber etimologi, karya sarjana Islam, dan aplikasinya dalam konteks Nusantara. Ihsan, sebagai salah satu konsep asas dalam Islam, melangkaui sekadar perbuatan baik individu dan merangkumi nilai moral serta etika yang memberi kesan kepada kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Kajian ini menggariskan bahawa Ihsan berfungsi sebagai tunjang dalam pembangunan masyarakat adil, seimbang, dan makmur seperti yang ditekankan dalam konsep MADANI di Malaysia. Melalui analisis karya tokoh seperti al-Farabi dan Ibn Khaldun, artikel ini membuktikan bahawa Ihsan berperanan penting dalam memastikan kestabilan dan kesejahteraan tamadun. Al-Farabi mengaitkan Ihsan dengan pembangunan moral individu dalam negara utama (al-Madinah al-Fadilah), manakala Ibn Khaldun menekankan kepentingan akhlak sebagai asas kelangsungan sesebuah peradaban. Dalam konteks Malaysia dan Indonesia, Ihsan menjadi komponen utama dalam gagasan Masyarakat Madani yang diasaskan oleh Anwar Ibrahim dan Azyumardi Azra, dengan penekanan terhadap keadilan sosial, perpaduan nasional, dan integriti. Penerapan konsep Ihsan dalam masyarakat merangkumi aspek sosial, ekonomi, dan politik. Dari sudut sosial, Ihsan mendorong empati dan keprihatinan terhadap golongan memerlukan, manakala dari perspektif ekonomi dan politik, Ihsan menjadi landasan dalam pembentukan dasar awam yang adil dan inklusif. Artikel ini turut menekankan bahawa kemerosotan nilai Ihsan boleh membawa kepada ketidakadilan, rasuah, dan ketidakseimbangan sosial. Kesimpulannya, Ihsan bukan sahaja prinsip spiritual tetapi juga instrumen praktikal dalam membina masyarakat yang harmoni dan berdaya tahan. Melalui penerapan Ihsan dalam dasar dan pendidikan, masyarakat dapat mencapai keseimbangan antara pembangunan material dan spiritual, seterusnya memastikan pembangunan negara yang holistik dan lestari.