Kaedah pengurusan ilmu lazim: Analisis dari perspektif Islam
Keywords:
Kaedah, pengurusan ilmu lazim, perspektif IslamAbstract
Kaedah pengurusan ilmu lazim kini semakin meluas penggunaannya dalam pelbagai institusi, termasuk institusi berteraskan Islam. Walaupun berasaskan paradigma sekular, pendekatan ini telah diaplikasikan secara meluas dengan kadar penggunaan mencecah 80% di pelbagai institusi, tanpa pengecualian terhadap institusi Islam. Hal ini menimbulkan persoalan tentang kesesuaian dan kesan pendekatan tersebut terhadap matlamat asas institusi Islam yang bersifat rabbani. Justeru, kajian ini dijalankan bagi mengenal pasti matlamat kaedah pengurusan ilmu lazim, menganalisisnya daripada perspektif Islam, serta merumuskan kerangka pengurusan ilmu yang selari dengan prinsip Islam. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif melalui analisis kandungan dokumen. Dapatan kajian merumuskan empat komponen penting dalam menilai dan membentuk kerangka pengurusan ilmu menurut perspektif Islam, iaitu (i) asas falsafah dan tasawur ilmu Islam yang menjadi teras pendekatan, (ii) matlamat yang menjurus kepada pencapaian keredaan Allah SWT (Mardatillah), (iii) pendekatan holistik dalam pelaksanaan, dan (iv) keselarasan proses dengan kehendak syariah. Implikasi kajian ini menunjukkan bahawa institusi Islam perlu menilai semula asas epistemologi dan strategi operasi yang digunakan dalam pengurusan ilmu agar tidak mengadaptasi secara membuta tuli kerangka sekular. Sebaliknya, institusi perlu membangunkan model pengurusan ilmu yang autentik dan berteraskan nilai Islam yang menyeluruh. Kajian ini menyumbang kepada kaedah pengurusan ilmu dari sudut perspektif Islam serta menyediakan asas konseptual bagi kajian empirikal masa hadapan dalam membangunkan kerangka pengurusan ilmu berasaskan Islam yang bersifat holistik.