Templat ulasan buku hadis 40 sebagai instrumen penilaian berterusan dalam kursus CTU 152: Satu pendekatan reflektif dan autentik
Keywords:
Template ulasan buku, penilaian berterusan, CTU 152Abstract
Artikel ini membentangkan satu inovasi pedagogi dalam bentuk Templat Ulasan Buku Hadis 40 yang direka khusus sebagai instrumen penilaian berterusan dalam kursus CTU 152: Penghayatan Etika dan Peradaban bagi pelajar di peringkat diploma di Universiti Teknologi MARA (UiTM). Templat ini berfungsi sebagai alat pentaksiran formatif yang bersifat reflektif dan autentik selaras dengan objektif kursus yang menekankan penghayatan nilai, pemikiran etika serta pemupukan sahsiah pelajar Muslim. Struktur templat ini membimbing pelajar untuk membaca dan memahami kandungan buku secara mendalam, mengenal pasti mesej nilai dalam hadis, menilai kaitan antara nilai dan isu semasa, serta mengemukakan refleksi kendiri secara tersusun. Sebagai penilaian berterusan, templat ini mendorong pelajar untuk mengintegrasikan ilmu, adab dan aplikasi amali dalam satu tugasan yang holistik. Analisis terhadap hasil pelajar menunjukkan peningkatan dalam keupayaan menulis secara kritis dan reflektif, kejelasan nilai yang dihayati, serta kesedaran terhadap keperluan menyesuaikan ajaran Islam dengan konteks kehidupan semasa. Inovasi ini sekali gus menawarkan pendekatan alternatif kepada kaedah penilaian konvensional yang bersifat kognitif semata-mata, dengan memberi ruang kepada pelajar untuk menunjukkan pemahaman nilai melalui penzahiran peribadi dan analisis kontekstual. Artikel ini mencadangkan agar pendekatan ini diperluaskan sebagai amalan penilaian berterusan yang lebih berfokuskan pembinaan akhlak dan jati diri pelajar dalam pendidikan tinggi Islam.