Transformasi kaedah pembelajaran pengajian Islam: Kajian persepsi pelajar terhadap pembelajaran berasaskan aktiviti
Keywords:
Transformasi Pembelajaran, Pengajian Islam, Era Digital, Pembelajaran Berasaskan Aktiviti, Pembelajaran InteraktifAbstract
Pembelajaran dalam bidang pengajian Islam memerlukan pendekatan yang lebih dinamik dan interaktif untuk meningkatkan kefahaman serta keterlibatan pelajar. Kajian ini bertujuan untuk menganalisis persepsi pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kedah terhadap keberkesanan pembelajaran berasaskan aktiviti yang terdapat dalam buku rujukan CTU101. Secara khusus, kajian ini berfokus pada mengenal pasti jenis aktiviti pembelajaran terkini dalam subjek pengajian Islam, menilai kesannya terhadap kefahaman pelajar, serta menganalisis aspek penambahbaikan yang diperlukan bagi meningkatkan keberkesanan pembelajaran berasaskan aktiviti. Pendekatan kuantitatif digunakan dengan mengedarkan soal selidik secara dalam talian melalui Google Form kepada 945 pelajar yang mengambil kursus ini. Daripada jumlah tersebut, 298 pelajar telah memberikan maklum balas. Data dianalisis menggunakan analisis deskriptif dengan memberi tumpuan kepada impak pembelajaran berasaskan aktiviti terhadap pelajar. Hasil kajian menunjukkan bahawa pelbagai aktiviti pembelajaran yang diterapkan dalam buku CTU101, seperti latihan pengukuhan, soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), perbincangan kumpulan, debat akademik, dan penggunaan QR Code, berjaya meningkatkan pemahaman, motivasi, serta keterlibatan pelajar dalam proses pembelajaran. Majoriti pelajar bersetuju bahawa elemen digital seperti QR Bacaan Yassin, QR Latihan Yassin, serta QR Perbincangan Situasi Sebenar memainkan peranan penting dalam menjadikan pembelajaran lebih menarik dan efektif. Walaupun keberkesanan buku ini telah terbukti, pelajar mencadangkan penambahan lebih banyak latihan, penyediaan skema jawapan, serta integrasi kaedah pembelajaran digital yang lebih meluas bagi meningkatkan lagi keberkesanannya. Secara keseluruhannya, kajian ini mengesahkan bahawa transformasi pembelajaran pengajian Islam di era digital melalui pendekatan berasaskan aktiviti dan teknologi interaktif mampu meningkatkan pemahaman dan pengalaman pembelajaran pelajar. Oleh itu, pendekatan ini wajar diperluaskan dalam bahan pembelajaran Islam bagi memastikan keberkesanan pendidikan yang lebih holistik dan berkesan.