Pengetahuan, kemahiran dan kesediaan guru pelatih Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) dalam penulisan penyelidikan pendidikan
Keywords:
Pengetahuan penyelidikan, kemahiran penyelidikan, kesediaan guruAbstract
Penyelidikan pendidikan memainkan peranan yang signifikan dalam memastikan penyuburan ilmu pengetahuan yang berkualiti demi pembangunan negara. Penghasilan pendidik yang cemerlang memerlukan keupayaan untuk melaksanakan penyelidikan yang sistematik dan berkesan. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk menyelidik tahap pengetahuan, kemahiran dan kesediaan guru pelatih Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di IPGM Kampus Zon Utara dalam penulisan penyelidikan pendidikan. Masalah utama yang ditemui berdasarkan tinjauan yang dibuat menunjukkan kebanyakan pelajar kurang kemahiran dalam mendapatkan idea kajian dan membezakan jenis penyelidikan, yang mungkin mengakibatkan kajian yang tidak relevan atau tidak memberi sumbangan yang signifikan. Kajian terkini juga menunjukkan guru pelatih sering mengalami kesulitan dalam memilih topik penyelidikan yang sesuai, dan ini memberikan landasan kepada penyelidikan ini untuk meneliti aspek-aspek yang berkaitan. Maka, beberapa objektif kajian dibentuk dengan tujuan meneliti tahap pengetahuan, kemahiran, dan kesediaan guru pelatih dalam penulisan penyelidikan pendidikan. Dengan menggunakan kerangka konsep pembelajaran dan pembangunan profesional guru, kajian ini akan memberi tumpuan kepada penelitian pengetahuan serta kemahiran penyelidikan dalam kalangan guru pelatih PISMP di IPGM Kampus Zon Utara melalui soal selidik yang dijalankan di empat kampus zon utara, iaitu IPGM Kampus Perlis, IPGM Kampus Tengku Bainun, IPGM Kampus Sultan Abdul Halim dan IPGM Kampus Darulaman. Data soal selidik yang diperoleh dianalisis menggunakan SPSS (Statistical Package For Social Sciences) versi 25. Dapatan ini telah memberi pandangan yang mendalam tentang tahap pengetahuan, kemahiran dan kesediaan penyelidikan dalam kalangan guru pelatih PISMP di IPGM Kampus Zon Utara serta cadangan untuk penambahbaikan pada masa akan datang. Dengan memahami aspek-aspek ini, diharapkan cadangan yang diperoleh daripada kajian ini dapat meningkatkan kualiti pendidikan siswa guru khususnya dan warga pendidik di Malaysia amnya.