Aplikasi kaedah Ad-Dharar Yuzal dalam pendaftaran perkahwinan di Negeri Kedah
The application of the Ad-Dharar Yuzal principle in marriage registration in the State of Kedah
Keywords:
Kaedah ad-Dharar Yuzal, Pendaftaran Perkahwinan, KedahAbstract
Kaedah ad-Dharar Yuzal (kemudaratan harus dihilangkan) merupakan salah satu kaedah daripada kaedah-kaedah fiqh yang dilihat sangat penting di dalam fiqh. Kaedah ini banyak diguna pakai dalam permasalahan berkaitan kekeluargaan Islam terutamanya perkahwinan dan perceraian. Perkahwinan merupakan suatu tuntutan fitrah semulajadi manusia yang telah ditetapkan oleh Allah SWT terhadap hamba-hambanya. Perkahwinan yang dituntut di dalam agama Islam adalah perkahwinan yang mengikuti landasan hukum syariat serta garis panduan perkahwinan yang telah ditetapkan. Kajian ini bertujuan mengkaji berkaitan pengaplikasian kaedah ad-Dharar Yuzal dalam hal berkaitan pendaftaran perkahwinan serta kesan sekiranya perkahwinan yang dijalankan itu, tidak didaftarkan. Kajian ini berbentuk kualitatif. Proses pengumpulan data melibatkan kaedah perpustakaan melalui sumber-sumber sekunder. Data kajian dianalisis menggunakan pendekatan analisis kandungan. Hasil kajian menunjukan bahawa secara umumnya, kemudaratan yang terhasil daripada perkahwinan yang tidak didaftar ini sangatlah banyak serta memberi impak dan kesan yang sangat besar terhadap hak pasangan dan anak. Implikasi daripada masalah ini, hak yang sepatutnya diperolehi oleh pasangan dan anak hasil perkahwinan itu tidak dapat diperolehi disebabkan pendaftaran perkahwinan yang tidak didaftar melalui saluran yang benar menyebabkan tiada pembuktian dan pengesahan berkaitan perkahwinan yang telah dijalankan. Kajian ini turut menggesa pihak yang terlibat untuk mengetatkan penguatkuasaan dengan mengenakan denda yang lebih berat kepada pelaku agar perkara sebegini tidak akan berleluasa pada masa akan datang.