Analisa terhadap amalan terbaik dan cadangan strategik bagi memanfaatkan tanah waqaf untuk memperkasakan inisiatif keselamatan makanan di Malaysia
An analysis of best practices and strategic recommendations for leveraging waqf land to strengthen food security initiatives in Malaysia
Keywords:
Tanah Waqaf, Inisiatif Keselamatan Makanan, Amalan Terbaik, MalaysiaAbstract
Populasi Malaysia, yang dianggarkan sebanyak 33.7 juta pada tahun 2023, terus berkembang dengan kadar pertumbuhan populasi tahunan sebanyak 0.2 peratus, yang membawa kepada peningkatan keperluan bagi langkah-langkah keselamatan makanan yang kukuh. Walau bagaimanapun, negara ini berdepan dengan masalah ketidakcukupan kendiri dalam pengeluaran makanan asas, dan sangat bergantung kepada sumber import, yang mengakibatkan defisit perdagangan makanan meningkat kepada RM31 bilion pada tahun 2022 berbanding RM25 bilion pada tahun 2021. Sebaliknya tanah waqaf menawarkan satu peluang yang unik bagi pengagihan kekayaan dan manfaat sosial. Namun, sistem tadbir urus semasa dalam institusi waqaf seperti masalah pengurusan yang tidak efektif, ketelusan, dan kekurangan sumber manusia yang berkemahiran, telah mengakibatkan banyak tanah waqaf terbiar dan yang tidak digunakan. Walhal, jika dirancang dengan berkesan, tanah-tanah waqaf ini boleh dimanfaatkan secara optimum sebagai satu inisiatif yang menjamin keselamatan makanan di Malaysia. Kajian ini bertujuan untuk mengkaji amalan terbaik global yang berjaya dalam memaksimumkan penggunaan tanah waqaf bagi menjamin keselamatan makanan. Sebagai contoh reformasi undang-undang untuk menyelaraskan rangka kerja pengawalseliaan yang mengawal harta waqaf, mengadaptasi model kewangan yang lebih fleksibel dan inovatif seperti perkongsian awam swasta (public private partnership), waqaf tunai dan waqaf korporat, penglibatan masyarakat, penggunaan teknologi moden dan teknik pertanian inovatif seperti Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan sebagainya. Penyelidikan ini menggunakan pendekatan kualitatif, dengan menganalisis bahan primer dan sekunder melalui undang-undang yang sedia ada serta data dari badan pentadbiran yang berkaitan. Selaras dengan dasar negara seperti Visi Kemakmuran Bersama 2030 dan Dasar Agromakanan Negara 2.0, kajian ini bertujuan untuk menyediakan amalan terbaik dan cadangan terbaik bagi rangka kerja undang-undang, strategi, dasar, dan garis panduan untuk meningkatkan pertanian yang mampan dan kesejahteraan masyarakat.