PERANAN KECERDASAN BUATAN (AI) DALAM PENGURUSAN AKADEMIK PELAJAR
Keywords:
kecerdasan buatan AI, pengurusan akademik, pelajar PMUAbstract
Kajian ini bertujuan untuk menilai peranan kecerdasan buatan (AI) dalam pengurusan akademik pelajar di Politeknik Mukah Sarawak (PMU). Kajian ini dijalankan menggunakan metodologi kuantitatif, di mana soal selidik telah diedarkan secara umum. Teknik pensampelan yang digunakan adalah pensampelan rawak mudah, bagi memastikan setiap pelajar PMU mempunyai peluang yang sama untuk terlibat dalam kajian ini. Instrumen soal selidik yang digunakan dalam kajian ini telah diuji untuk kebolehpercayaan dengan menggunakan analisis Cronbach Alpha dan seterusnya dianalisis secara deskriptif untuk memperoleh nilai skor min bagi setiap pemboleh ubah yang dikaji. Seramai 58 pelajar dari pelbagai jabatan akademik di PMU telah mengambil bahagian dalam menajwab soal selidik yang diedarkan.Hasil kajian menunjukkan bahawa AI memainkan peranan penting dalam membantu pelajar menguruskan masa belajar, mencari sumber pembelajaran, dan menghasilkan idea kreatif. Secara keseluruhan, AI membantu meningkatkan prestasi akademik pelajar dengan nilai min yang mencapai tahap sederhana hingga tinggi, seperti yang ditunjukkan dalam analisis item kajian dengan purata min bagi sumber pembelajaran dan idea pembelajaran masing-masing adalah 4.0 (tinggi). AI juga membantu pelajar dalam memperbaiki pengurusan masa dan menyiapkan tugasan dengan cepat, dengan purata min bagi pengurusan masa adalah 3.7 (sederhana). Kajian ini penting kerana ia memberikan pandangan yang mendalam tentang bagaimana teknologi AI dapat meningkatkan kualiti pengurusan akademik dalam kalangan pelajar, serta memberi cadangan bagaimana AI boleh digunakan secara lebih berkesan dalam konteks pendidikan tinggi. Hasil kajian ini juga dapat menjadi panduan kepada institusi pendidikan untuk melihat sejauhmana kemahiran pelajar dalam penggunaan AI serta merangka strategi dalam memanfaatkan penggunaan AI untuk diterapkan bagi meningkatkan prestasi akademik pelajar.