ANALISIS KEPERLUAN TERHADAP PENGAJARAN TARIQ-TARIQ HAFS BAGI PELAJAR-PELAJAR QIRA’AT DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Authors

  • Hanan Syafiqah Binti Haji Muhammad Salleh
  • Dr Hajah Sarinah Binti Haji Yahya
  • Dr Haji Ahmad Baha Bin Haji Mokhtar
  • Dr Adam Bin Haji Jait

Abstract

Pelajar-pelajar Qira’at di Negara Brunei Darussalam belum pernah didedahkan dengan Tariq-tariq Hafs secara komprehensif. Tariq-tariq Hafs yang terkumpul ialah sebanyak 58 tariq, yang antaranya Tariq al-Syatibi yang biasa diamalkan di negara ini. Tariq al-Syatibi mempunyai banyak persamaan manhaj (cara) bacaan dengan manhaj Tariq-tariq Hafs yang lain sehingga menyebabkan mudah berlakunya tarkib (pertindihan) dalam bacaan. Justeru, pengkaji berhasrat untuk menjalankan kajian ini untuk meninjau pandangan pakar ilmu Qira’at yang berkaitan dengan keperluan pengajaran Tariq-tariq Hafs (PTH) di Negara Brunei Darussalam. Dapatan yang diperolehi daripada kajian ini nanti akan digunakan untuk peringkat seterusnya, iaitu peringkat reka bentuk PTH. Kajian ini berbentuk kajian kualitatif melalui temubual separa berstruktur bersama enam orang responden, iaitu pensyarah Qira’at dan ilmu yang berkaitan dengannya di Negara Brunei Darussalam dari Diploma ‘Aliyah Qira’at (DAQ), Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA). Data temubual dianalisis mengikut tema dan kategori bagi memperoleh dapatan analisis keperluan. Dapatan kajian menunjukkan semua responden bersetuju bahawa pengajaran Tariq-tariq Hafs perlu diadakan di Negara Brunei Darussalam, terutamanya bagi pelajar-pelajar Qira’at di peringkat Ijazah Sarjana Muda. Komponen pengajaran yang terdiri daripada objektif, isi kandungan, tempoh pengajaran, kaedah pengajaran, jenis penilaian dan kitab yang sesuai digunakan juga disenaraikan hasil daripada pandangan responden tersebut untuk dijadikan bahan kajian pengkaji nanti di peringkat reka bentuk. Kajian ini diharap akan memberi manfaat kepada dunia Islam umumnya dan Negara Brunei Darussalam khususnya.

Downloads

Published

2024-07-31