POLA PENGGUNAAN MEDIA SOSIAL GENERASI MILINEAL DI MASA SENGGANG DAN KECENDERUNGAN MENJADI MANGSA PENIPUAN DALAM TALIAN
Abstract
Setiap hari ada sahaja berita mengenai kes mangsa jenayah siber dipaparkan di media sosial. Kes-kes seperti mangsa penipuan dalam talian, Macau Scam, Love Scam, pelaburan tidak wujud dan keldai akaun semakin sinonim dalam kehidupan masyarakat hari ini. Kajian ini dijalankan bertujuan untuk mengkaji pola penggunaan media sosial di kalangan pengguna generasi milineal di masa senggang dan mengenal pasti faktor-faktor yang menyumbang kepada kecenderungan menjadi mangsa penipuan dalam talian. Kajian secara kuantitatif ini melibatkan generasi milineal yang menggunakan media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter. Manakala pemilihan responden adalah secara rawak. Analisis data menunjukkan majoriti responden menggunakan media sosial di antara 5-8 jam sehari dan Tik tok merupakan platform yang paling banyak digunakan. Selain itu dapatan juga menujukkan kebanyakan responden melayari internet dan media sosial bagi tujuan menghilangkan rasa bosan. Daripada aspek kecenderungan menjadi mangsa penipuan, data menunjukkan faktor panik dan mudah percaya merupakan faktor utama menjadikan responden berkecenderungan untuk menjadi mangsa penipuan dalam talian. Kajian ini dapat memberi implikasi praktikal kepada pengguna media sosial untuk berhati-hati dan tidak panik semasa menggunakan media sosial. Selain itu, kajian ini dapat memberi gambaran kepada pihak berkuasa untuk meningkatkan aspek keselamatan siber.