SUMBANGAN PROFESOR MADYA DR. NOORNAJIHAN JAAFAR KEPADA KOMUNITI ORANG KURANG UPAYA (OKU) DI MALAYSIA
Abstract
Orang Kurang Upaya (OKU) adalah seseorang yang mempunyai ketidakupayaan jangka masa panjang dari segi fizikal, intelektual, mental, dan pancaindera. Pada masa kini, golongan kurang upaya ini sering kali disisihkan oleh masyarakat dan dipandang rendah terhadap kekurangan mereka. Namun, golongan tersebut sebenarnya mampu mengorakkan langkah lebih jauh dalam bidang yang diceburi jika mendapatkan tunjuk ajar yang betul dan bimbingan daripada mereka yang pakar. Pakar yang membimbing golongan OKU ini perlu diperkenalkan kepada masyarakat agar sumbangan mereka dapat dihargai dan dicontohi keberhasilan serta sumbangan mereka. Oleh yang demikian, kajian ini dilaksanakan bertujuan untuk mendedahkan sumbangan besar yang diberikan oleh salah seorang pakar tersebut iaitu Profesor Madya Dr. Noornajihan Jaafar kepada golongan OKU di Malaysia terutamanya dalam membantu golongan yang cacat penglihatan yang dibantu melalui aplikasi Braille untuk memudahkan mereka membaca dan mengaji al-Quran dan sebagainya. Kajian ini juga bertujuan untuk mengkaji metode yang digunakan beliau sebagai medan dakwah terutamanya dalam bidang al-Quran. Pengkaji menggunakan kaedah kualitatif serta menjadikan temubual dan pemerhatian sebagai wadah pengumpulan data penting untuk menyempurnakan kajian ini. Justeru, di penghujung kajian ini, pengkaji mendapati bahawa beliau sangat berjasa kepada masyarakat Islam terutamanya golongan OKU. Hal ini kerana, dengan sumbangan yang diberikan beliau melalui aplikasi Braille telah memberikan impak yang sangat positif kepada golongan OKU untuk membaca dan mempelajari al-Quran sekaligus turut memberikan manfaat yang besar kepada masyarakat lain untuk mempelajarinya khususnya mahasiswa pengajian Quran dan Sunnah di USIM.