PERLAKSANAAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN DALAM TALIAN DARIPADA PERSPEKTIF PENSYARAH SEMASA PANDEMIK COVID-19: PENDEKATAN ETNOGRAFI

Authors

  • Nor Hafizan Habib Sultan

Abstract

Pandemik COVID-19 telah membawa perubahan yang besar dalam landskap kehidupan manusia dan telah melumpuhkan dunia. Pelbagai sektor turut terkesan dengan penularan wabak COVID-19 ini termasuklah Institusi Pendidikan di Malaysia. Sebelum terjadinya wabak ini sistem pembelajaran dijalankan secara bersemuka di Sekolah dan Universiti. Namun, sejak berlakunya wabak ini sistem pembelajaran telah ditukar kepada pembelajaran secara dalam talian atau digital. Berdasarkan fenomena ini, kajian ini bertujuan untuk meneroka perlaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) semasa pandemik COVID-19 daripada perspektif pensyarah di Universiti Malaysia Perlis. Kedua mengenal pasti impak dan cabaran terhadap perlaksanaan PdP dalam talian. Kajian ini berbentuk etnografi melalui pemerhatian, temubual mendalam dan analisis dokumen ke atas lima orang informan dalam kalangan pensyarah. Kajian ini dijalankan menggunakan teknik persampelan bertujuan. Dapatan kajian menunjukkan bahawa perubahan dalam sistem PdP memberi pengalaman baru kepada pensyarah di UniMAP. Perspektif pensyarah terhadap perlaksanaan PdP dilihat wujudnya “perasaan bercampur baur”, “pengalaman baharu dalam dunia pendidikan” dan “aplikasi pendidikan digital dalam PdP”. Manakala impak kajian menunjukkan PdP secara dalam talian memberikan impak positif dan negatif kepada pensyarah. Terdapat pelbagai cabaran yang perlu diharungi oleh pensyarah apabila perlaksanaan PdP dijalankan secara dalam talian. Pensyarah perlu berhadapan dengan cabaran dari segi tiada komunikasi dua hala antara pensyarah dan pelajar dan pengurusan emosi. Kesimpulannya, perubahan sistem PdP secara dalam talian masih boleh dilakukan meskipun Malaysia berhadapan dengan wabak COVID-19. Namun, perubahan ini memerlukan sistem pendidikan menyesuaikan diri dengan keadaan semasa. Kajian lanjut boleh dilakukan dengan memfokuskan kepada pelajar kurang Upaya (OKU) masalah pembelajaran terhadap keberhasilan pelajar melalui PdP secara dalam talian.

Downloads

Published

2024-06-30