CABARAN MEMILIKI INSURAN BANJIR DI PANTAI BARAT SABAH, MALAYSIA

Authors

  • Ubong Imang
  • Faerozh Madli
  • Zulayti Zakaria
  • Nordin Sakke
  • Adi Jafar
  • Lindah Roziani Jamru

Abstract

Salah satu strategi adaptasi yang dapat mengurangkan risiko kerugian akibat banjir adalah dengan melanggan perkhidmatan insuran bencana alam (banjir). Malangnya, penyertaan masyarakat untuk melanggan insuran bencana alam di kebanyakan negara membangun yang rentan terhadap banjir masih tergolong rendah, termasuklah di Malaysia. Rentetan daripada itu kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti tahap bahaya banjir dan meneliti cabaran pemilikan insuran banjir di Pantai Barat Sabah, Malaysia. Dalam kajian ini dua daerah hot spot banjir di Pantai Barat Sabah iaitu Daerah Kota Kinabalu dan Kota Belud dijadikan lokasi kajian. Kajian ini menggunakan pendekatan tinjauan keratan rentas untuk mendapatkan data di lapangan. Oleh itu, seramai 232 orang responden yang terdiri daripada penduduk di dua buah daerah tersebut telah dijadikan sampel. Data mentah yang telah dikutip dianalisis secara deskriptif (min, sisihan piawai, peratus & frekuensi) menggunakan perisian SPSS (Versi 26). Hasil kajian mendapati beberapa peratus responden menghadapi bahaya banjir pada peringkat tinggi daripada aspek kedalaman (41.1%), kekerapan (10.2%) dan tempoh masa (16.4%). Selain itu, kajian ini turut mendapati bahawa literasi masyarakat yang rendah tentang insuran banjir, rendahnya aksessibiliti terhadap firma insuran banjir dan batasan kewangan merupakan bentuk cabaran utama untuk memiliki insuran banjir di Pantai Barat Sabah. Hasil kajian ini penting sebagai maklumat tambahan untuk membantu merangka strategi yang lebih berkesan bagi meningkatkan pemilikan perlindungan insuran banjir di Sabah khususnya dan di Malaysia umumnya.

Downloads

Published

2024-06-30