KURSUS PASCAPERKAHWINAN ISLAM FASA BULAN MADU: ANALISIS MENURUT KAEDAH AL-DARAR YUZAL

Authors

  • Muhammad Amirul Husni Abdullah
  • Zul-kifli Hussin

Abstract

Perkahwinan merupakan satu bentuk ikatan halal yang terjalin hasil daripada akad nikah antara lelaki dan perempuan bagi memastikan hak dan tanggungjawab dapat dipenuhi antara satu sama lain. Kes perceraian yang berlaku semakin hari merisaukan dan tidak ada penghujungnya. Perceraian merupakan kemudaratan yang perlu dielakkan kerana bukan sahaja memberi kesan kepada pasangan tersebut sahaja bahkan kepada masyarakat. Pelbagai usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan bagi memastikan perkara ini untuk dibendung agar masalah perceraian tidak terus meningkat. Antara usaha yang dilakukan oleh kerajaan mewujudkan kursus pascaperkahwinan Islam bagi menyasarkan pasangan yang sudah mendirikan rumah tangga dalam tempoh yang tertentu. Persoalannya, adakah silibus yang ditekankan dalam kursus pascaperkahwinan Islam mampu meminimumkan perceraian? Justeru, kajian ini bertujuan menganalisis pengisian Kursus Pascaperkahwinan Islam Fasa Bulan Madu dalam mengurangkan konflik rumah tangga. Metodologi yang digunakan berbentuk kualitatif. Data kajian pula diambil daripada analisis dokumen dan temu bual separa berstruktur. Data kajian yang diperolehi dianalisis melalui analisis kandungan dan analisis tematik. Hasil kajian ini menunjukkan silibus Kursus Pascaperkahwinan Islam Fasa Bulan Madu dapat mengurangkan konflik rumah tangga yang membawa ke arah perceraian. Oleh itu, kajian lanjutan perlu dilakukan untuk mewajibkan pasangan yang sudah berkahwin bagi menyertai kursus pascaperkahwinan Islam.

Downloads

Published

2024-06-30