GANGGUAN SEKSUAL DAN KESANNYA TERHADAP FIZIKAL, EMOSI, DAN PSIKOLOGI DALAM DALAM KALANGAN ANGGOTA BADAN BERUNIFORM

Authors

  • Fadillah Ismail

Abstract

Gangguan seksual merupakan suatu tragedi buruk yang berlaku di tempat kerja dan mangsa kepada gangguan seksual ini terdiri daripada lelaki atau perempuan. Peristiwa gangguan seksual yang di alami oleh mangsa memberi kesan buruk kepada emosi, kerjaya, rumah tangga serta kehidupan mereka. Gangguan seksual dalam kalangan pekerja bukanlah isu yang boleh di pandang remeh kerana ianya merupakan isu sosial yang boleh memberi implikasi kepada produktiviti, motivasi dan persekitaran kerja yang berkualiti dan selamat. Oleh itu, kesedaran terhadap gangguan seksual ini penting supaya mangsa kepada gangguan seksual dapat dibela serta dibantu dengan memberi keadilan dan perlindungan. Justeru, objektif kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti tahap gangguan seksual yang dihadapi oleh pekerja lelaki dan perempuan, mengenal pasti hubungan di antara bentuk dan kesan gangguan seksual, dan mengkaji kesan gangguan seksual dalam kalangan anggota badan beruniform di Selangor. Sebanyak 265 borang soal selidik tinjauan dikumpulkan melalui tinjauan luar talian dan hanya 232 borang soal selidik sahaja yang dikaji. Analisis statistik deskriptif, ujian Mann-Whitney U, dan analisis statistik inferensi digunakan untuk menganalisis data bagi mencapai objektif kajian. Hasil dapatan kajian menunjukkan tahap gangguan seksual dalam kalangan anggota badan beruniform adalah di tahap sederhana dan tiada perbezaan gangguan seksual di antara anggota badan beruniform lelaki dan perempuan di Selangor. Terdapat korelasi positif antara bentuk gangguan seksual dan kesan terhadap fizikal (r = 0.849), emosi (r = 0.821), dan psikologi (r = 0.814). Hasil kajian menunjukkan gangguan seksual mempunyai kesan yang signifikan terhadap fizikal, emosi, dan psikologi dalam kalangan anggota badan beruniform di Selangor. Kesimpulannya, kajian ini membuktikan bahawa terdapat isu gangguan seksual di organisasi badan beruniform dan kajian ini memberi panduan yang jelas kepada organisasi badan beruniform untuk mengambil tindakan dalam menangani isu gangguan seksual yang telah memberi kesan terhadap fizikal, emosi, dan psikologi dalam kalangan anggota badan beruniform di tempat kerja.

Downloads

Published

2024-04-30