PENGARUH INSTRUMENTALITI DAN TINGKAHLAKU KESATUAN SEKERJA TERHADAP PENGLIBATAN KESATUAN SEKERJA DALAM SEKTOR TELEKOMUNIKASI TERPILIH DI SABAH

Authors

  • Nurul Fadilah Binti Ahmad
  • Kee Y Sabariah Binti Kee Mohd Yussof

Abstract

Penglibatan kesatuan sekerja merupakan penglibatan aktif ahli kesatuan sekerja sama ada dalam aktiviti formal atau tidak formal. Penglibatan aktif ini adalah penting bagi memastikan isu pekerjaan yang wujud dalam organisasi dapat diperbaiki menerusi penglibatan kesatuan sekerja. Oleh itu, tujuan kajian ini adalah untuk mengenalpasti tahap penglibatan kesatuan sekerja dan pengaruh Instrumentaliti kesatuan sekerja serta tingkalaku kesatuan sekerja terhadap penglibatan kesatuan sekerja di sektor telekomunikasi terpilih di Sabah. Kesatuan sekerja yang terlibat dalam kajian ini adalah daripada sektor telekomunikasi. Pendekatan kuantitatif digunakan dan data dianalisis menggunakan analisis deskriptif serta analisis regresi linear. Hasil dapatan kajian menunjukkan tahap penglibatan kesatuan sekerja berada pada tahap tinggi. Tahap penglibatan kesatuan sekerja yang tinggi ini menunjukkan bahawa ahli kesatuan sekerja dalam sektor telekomunikasi terlibat secara aktif dengan aktiviti kesatuan sekerja sama ada formal ataupun tidak formal. Penglibatan aktif ahli-ahli kesatuan sekerja ini membolehkan mereka untuk berunding dan mempengaruhi keputusan yang akan dilakukan. Tambahan lagi, penglibatan kesatuan sekerja ini akan mengambarkan keanggotaan yang mereka miliki yang mampu menpengaruhi sesuatu perundingan. Model kajian ini adalah signifikan di mana instrumentaliti kesatuan sekerja serta tingkalaku kesatuan sekerja mempengaruhi penglibatan kesatuan sekerja sebanyak 50 peratus. Instrumentaliti kesatuan sekerja adalah faedah yang diperolehi oleh ahli kesatuan sekerja dari segi ekonomi dan jaminan kerja yang dianggap sebagai alat bantuan kesatuan. Manakala, tingkahlaku kesatuan sekerja merupakan tingkah laku positif ahli kesatuan sekerja yang menyumbang kepada fungsi kesatuan sekerja tanpa mengharapkan ganjaran atau balasan daripada kesatuan sekerja. Dua pemboleh ubah ini merupakan pemboleh ubah yang baik dalam meramal penglibatan kesatuan sekerja. Hasil kajian ini menunjukkan teori penglibatan kesatuan sekerja boleh diimplementasikan dalam sektor telekomunikasi di Sabah.

Downloads

Published

2024-03-31