ANALISIS AKTA PENCEGAHAN RASUAH PENGGAL 131, MENURUT PERSPEKTIF SYARA’

Authors

  • Hairane Binti Haji Jambol
  • Dr Zurairatul Zakiah Binti Dato Seri Setia Hj Rajid

Abstract

Amalan pemberian hadiah dianggap baik kerana ianya boleh mengeratkan hubungan silaturahim dan menimbulkan perasaan kasih sayang sesama manusia diiringi dengan niat yang ikhlas tanpa mengharapkan balasan apa-apa daripadanya. Manakala hadiah yang berselindung disebalik niat buruk bagi mencapai tujuan yang tertentu, maka ia dinamakan rasuah. Menurut hukum syara' perbuatan rasuah adalah perbuatan yang keji dan dilarang kerana ia termasuk dalam perkara memakan atau mengambil harta orang lain dengan jalan yang salah dan ianya juga memberi kesan negatif kepada masyarakat dan negara. Oleh yang demikian, Kerajaan Negara Brunei Darussalam memandang serius dan sentiasa berusaha menentang jenayah rasuah dengan menubuhkan satu agensi penguatkuasa undang-undang yang dinamakan sebagai Jabatan Biro Mencegah Rasuah (BMR). Peruntukan-peruntukan bagi kesalahan rasuah ada termaktub di dalam Akta Pencegahan Rasuah, Penggal 131 yang mana memberi kuasa kepada BMR untuk menyiasat kesalahan rasuah sama ada di dalam sektor awam dan sektor swasta. Sungguhpun terdapat beberapa kajian lepas sebagai usaha untuk memberikan kesedaran masyarakat tentang kesalahan jenayah rasuah di Negara Brunei Darussalam, namun kajian-kajian ini tidak menganalisis Akta Pencegahan Rasuah Penggal 131 menurut perspektif syara’di Negara Brunei Darussalam. Oleh yang demikian, kajian perlu dibuat untuk menganalisis kesalahan-kesalahan rasuah berdasarkan Akta Pencegahan Rasuah Penggal 131 dan bentuk hukuman jika disabitkan dengan kesalahan rasuah. Kajian ini menggunakan kajian perpustakaan untuk memperoleh data dan maklumat serta mengkaji dokumen-dokumen yang berkaitan terdiri daripada buku, tesis, jurnal, data daripada laman sesawang BMR dan laporan berita tempatan bagi mengongsikan kes-kes sebenar yang telah berlaku di Negara Brunei Darussalam. Perbincangan juga berdasarkan beberapa ayat-ayat al-Quran yang berkaitan. Di akhir kajian, dapatan-dapatan yang diperolehi akan dapat mengutarakan beberapa cadangan penambahbaikan dalam membenteras gejala rasuah di Negara Brunei Darussalam.

Downloads

Published

2024-03-31