PENDEKATAN PSIKOLOGI NABAWI SEBAGAI INTERVENSI MENANGANI DEPRESI DALAM KALANGAN MASYARAKAT
Abstract
Depresi merupakan reaksi kemurungan normal kepada tekanan diri dengan perasaan cemas dan kebimbangan yang berturut-turut memungkinkan individu tersebut dilanda keresahan. Gangguan kerisauan ini boleh membuat hidup seseorang itu tidak tenteram kerana jiwa dan akal diganggu kemurungan. Namun, persekitaran komuniti boleh dicegah melalui bimbingan psikologi yang berautoriti. Bimbingan psikologi tersebut perlu disulami dengan elemen-elemen nabawi bagi menghindarkan seseorang ditimpa depresi. Kes-kes yang berlaku terhadap individu yang depresi akibat persekitaran yang negatif berpunca kerana pergeseran sosio masyarakat melibatkan semua peringkat dalam komuniti amat membimbangkan. Sehubungan itu, pendekatan psikologi nabawi wajar diimplementasikan berdasarkan pendekatan Nabi SAW. Implementasi psikologi nabawi mampu merawat golongan komuniti yang depresi seperti kesedihan yang melampau, mengasingkan diri, mencederakan diri termasuk cubaan membunuh diri. Artikel ini menggunakan konsep tematik dan analisis kandungan berdasarkan olahan para ulama di samping buku-buku, jurnal dan lain-lain. Artikel ini bertujuan untuk mendapatkan input yang dapat menyokong hasil dapatan dan kajian yang dijalankan. Hasil kajian mendapati psikologi nabawi merupakan solusi untuk golongan komuniti yang mengalami depresi. Justeru, pembangunan moral insan seperti menerapkan nilai sabar, elakkan berputus asa, sentiasa berlapang dada, bersangka baik dan berinteraksi secara harmoni berdasarkan pendekatan yang dipandu Nabi SAW boleh membudayakan kehidupan yang sihat dan berkualiti.