KEBIMBANGAN, KEMURUNGAN DAN TEKANAN DALAM KALANGAN PELAJAR: KAJIAN TINJAUAN DI KOLEJ KOMUNITI GERIK, PERAK
Abstract
Kebimbangan, kemurungan dan tekanan adalah masalah kesihatan mental yang sering dialami oleh para pelajar di Institusi Pengajian Tinggi. Kajian ini dilaksanakan bertujuan untuk mengenalpasti tahap kebimbangan, kemurungan dan tekanan dalam kalangan pelajar semester satu di Kolej Komuniti Gerik, Perak. Persampelan rawak berstrata melibatkan 104 orang responden yang terdiri pelajar semester satu sesi 1 2023/2024 telah digunapakai bagi memberi fokus keseragaman antara responden. Kajian ini telah menggunapakai Depression, Anxiety and Stress Scale 21 (DASS 21) untuk mengukur tahap kebimbangan, kemurungan dan tekanan yang dialami oleh pelajar. Data telah dikumpul menggunakan borang soal selidik secara dalam talian dan dianalisis menggunakan Statistical Package for the Social Science (SPSS) versi 23. Analisis deskriptif digunakan untuk mengetahui kategori setiap tahap aspek kebimbangan, kemurungan dan tekanan yang dihadapi oleh pelajar. Dapatan kajian menunjukkan majoriti pelajar berada dalam kategori tahap kebimbangan ringan iaitu 34 orang responden (32.7%) manakala bagi aspek kemurungan pula 55 orang responden (52.9%) berada pada kategori normal. Bagi aspek tekanan pula kategori normal menjadi kategori utama yang mempunyai bilangan responden yang ramai iaitu 64 orang (61.5%). Namun begitu fokus juga harus di beri kepada kategori teruk dan sangat teruk. Walaupun bilangannya adalah sedikit bagi setiap aspek tetapi jika tidak ditangani segera ia boleh membahayakan diri dan kesihatan pelajar. Kesimpulannya, kajian ini menunjukkan bahawa isu kesihatan mental ini perlu diberi perhatian oleh semua pihak untuk menjamin kesejahteraan generasi muda. Justeru, beberapa langkah proaktif dan pemantauan berterusan perlu dilakukan bagi memastikan masalah tersebut dapat diatasi.