TOLERANSI BERAGAMA DALAM MASYARAKAT MAJMUK: SATU PENELITIAN DARI PERSPEKTIF SYARAK DAN ARTIKEL 11 PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN MALAYSIA

Authors

  • Nurul Izzah Noor Zainan
  • Nurul Hidayah Awang @ Ab. Rahman
  • Mohd Khairul Anuar Ismail

Abstract

Islam menjunjung tinggi nilai toleransi dan perpaduan sesama umat manusia. Keharmonian hidup beragama hanya dapat diwujudkan apabila adanya toleransi dari semua pihak. Perbezaan agama, budaya, etnik serta warna kulit bukanlah sebab bagi menghalang kehidupan bersatu padu dan harmoni. Namun demikian, sifat kebebasan yang terbuka serta isu pluralisme agama yang menyatakan bahawa semua agama adalah sama menyebabkan banyak umat Islam mengikutinya dan bekerjasama dengan umat lain sama ada dalam urusan keagamaan, ibadah serta sosial. Kajian ini dijalankan adalah bertujuan menghasilkan satu pemahaman yang sebenar mengenai batas-batas toleransi antara umat beragama dari sudut pandangan syariat Islam seterusnya dijadikan sebagai landasan dalam membahaskan kedudukan toleransi beragama di Malaysia merujuk kepada Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Metode perpustakaan dan penelitian akan digunakan untuk mengumpulkan maklumat berkaitan dan kemudiannya dianalisis menggunakan metode induktif bagi mendapatkan satu kesimpulan mengenai batas-batas toleransi antara umat beragama menurut perspektif syarak. Hasil kajian mendapati syariat Islam menggariskan batas-batas tertentu berkaitan toleransi antara umat beragama merangkumi tiga aspek utama iaitu bidang akidah, ibadah serta kemasyarakatan. Toleransi beragama yang diamalkan di Malaysia adalah dengan bersandarkan kepada Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan iaitu umat Islam dan penganut-penganut agama lain bebas untuk mengikut dan mengamalkan ajaran agamanya masing-masing dengan tertakluk kepada syarat bahawa tidak boleh melakukan sebarang bentuk tindakan penyebaran mana-mana ajaran agama terhadap umat Islam.

Downloads

Published

2023-11-30