ANALISIS STRUKTUR PLOT NOVEL SEJARAH ISLAM UMAR AL-KHATTAB: REFORMIS DUNIA ISLAM (2010) KARYA ABDUL LATIP TALIB MELALUI PENDEKATAN MAQASID SYARIAH

Authors

  • Siti Nursyahirah Binti Abdullah
  • Siti Normala Hamzah
  • Izra Inna Hj Md Idris

Abstract

Kajian ilmiah ini memfokuskan kepada novel Sejarah Islam karya Abdul Latip Talib bertajuk Umar Al-Khattab: Reformis Dunia Islam (2010) yang berkisarkan kepimpinan, keperibadian dan sumbangan Umar Al-Khattab sepanjang menjadi khalifah umat Islam di zaman pemerintahannya. Objektif utama kajian ini adalah untuk mengenalpasti struktur plot dalam novel ini dan menganalisis struktur tersebut dengan menggunakan lima prinsip al-Dharuriyat, Maqasid Syariah yang dipelopori oleh Abu Ishaq Al-Shatibi. Menurut Rabiatu Adawiah et al. (2019) Maqasid Syariah sesuai digunakan sepanjang zaman dan sesuai diaplikasikan dalam semua bidang. Kajian lepas menunjukkan bidang Maqasid Syariah lebih tertumpu kepada aspek perundangan, pentadbiran, keagamaan dan pendidikan, namun agak kurang dalam bidang sastera dan karya kreatif. Setakat ini hanya satu kajian Maqasid Syariah yang dilakukan dari aspek bidang karya kreatif, iaitu Gurindam Dua Belas Mahakarya Raja Ali Haji. Justeru, kajian ini akan mengaplikasikan Maqasid Syariah dengan memfokuskan struktur plot dalam novel Sejarah Islam Umar Al-Khattab: Reformis Dunia Islam (2010) sebagai bahan penyelidikan. Kaedah kajian adalah secara kualitatif, iaitu menggunakan analisis tekstual. Dalam kajian ini terdapat lima prinsip al-Dharuriyat, Maqasid Syariah yang dianalisis, iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta bagi memperlihatkan aspek kepimpinan yang dipaparkan oleh watak-watak dan peristiwa dalam novel. Oleh itu, kajian yang dilakukan diharap dapat membuka jalan pengkaji akan datang untuk menggunakan pendekatan Maqasid Syariah ini dalam penulisan kreatif yang lain.

Downloads

Published

2023-11-30