ANALISIS WATAK DAN PERWATAKAN MELALUI TARBIAH ISLAMIAH DALAM NOVEL SARJANA BANGSA KARYA HASANUDDIN MD ISA

Authors

  • Muhammad Haziq Noor Affandi
  • Izra Inna Hj Md Idris
  • Siti Normala Hamzah

Abstract

Kajian ini meneliti watak dan perwatakan dalam novel Sarjana Bangsa karya Hasanuddin Md Isa melalui konsep tarbiah Islamiah. Tarbiah Islamiah membawa maksud penjagaan, pengasuhan, dan pendidikan yang berteraskan al-Quran dan as-sunnah. Salah satu unsur yang penting dalam struktur penulisan adalah watak dan perwatakan. Pengembangan naratif penceritaan dalam novel bergantung kepada watak yang membawa pembaca meneroka dan mengembara dalam cerita tersebut. Novel Sarjana Bangsa ini bertemakan masyarakat Melayu yang mempunyai pemikiran dan ilmu yang tinggi dalam memperjuangkan tamadun bangsa Melayu berteraskan ajaran Islam. Antara isu yang menyebabkan kemunduran bangsa Melayu antaranya krisis dan pemikiran bangsa Melayu yang terbelenggu dan terhakis kerana tidak berlandaskan ajaran al-Quran dan as-sunnah. Novel ini mengisahkan Profesor Dr Muhammad Isyraf Eilmy, seorang seorang pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia yang mempunyai pengetahuan yang luas dalam bidang pendidikan, politik, pemerintahan dan sosiobudaya serta bijak berhujah, telah berjaya mengislamkan Papa Lee dan membawa gagasan penyatuan kaum bertunjangkan tauhid. Objektif kajian ini adalah mengenal pasti paparan watak dan perwatakan serta menganalisis konsep tarbiah Islamiah dalam novel Sarjana Bangsa. Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif dan memfokuskan kepada analisis tekstual dalam novel tersebut. Dapatan kajian memperlihatkan enam daripada lapan konsep tarbiah Islamiah, iaitu tarbiah imaniyyah, tarbiah ruhiyyah tarbiah akhlak, tarbiah akal, tarbiah politik, dan tarbiah akidah yang dibawa oleh keempat-empat watak dalam novel tersebut, iaitu Dr Muhammad Isyraf Eilmy, Cikgu Hassan, Papa Lee dan Mak Normah.Diharapkan lebih banyak kajian pemaparan watak dalam novel yang berteraskan Islam untuk mengangkat peradaban tamadun bangsa Melayu-Islam yang unggul

Downloads

Published

2023-11-30