TADBIR URUS DAN PERKEMBANGAN INSTITUSI PENJARA DI NEGERI-NEGERI SELAT, 1790-1826

Authors

  • Siti Alwaliyah Mansor
  • Haslinda Hasan
  • Nabisah Ibrahim

Abstract

Kajian ini melihat tadbir urus dan perkembangan Penjara di Negeri-Negeri Selat (NNS) pada penghujung abad ke-18 dalam era tradisional melayu dan era kolonial British antara tahun 1790 sehingga tahun 1826. Sebelum kehadiran pengaruh kolonial British di Negeri-Negeri-Negeri Selat, sistem penjara telah lama wujud dan dipraktikkan mengikut undang-undang tradisional khususnya sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka. Pada penghujung abad ke-18, kehadiran kolonial British telah membawa bersama sistem perundangan Inggeris sekaligus memperkenalkan sistem penjara kolonial. Dalam kedua-dua era ini, matlamat institusi penjara adalah sama iaitu menjadi alat mengawal masyarakat, membanteras penentangan masyarakat terhadap pemerintah serta mengawal kadar jenayah ke arah mengendalikan pentadbiran secara lebih lancar dan berkesan. Namun dalam era kolonial, wujud satu kepentingan kerajaan British untuk menggunakan sumber buruh banduan bagi kerja-kerja pembangunan kerajaan sehingga membawa kepada perkembangan dan kelangsungan sistem penjara sehingga tahun 1826. Perbincangan ini dihalakan kepada melihat aspek tadbir urus penjara dalam dua era iaitu tradisional melayu kepada era kolonial British antara tahun 1790 sehingga tahun 1826. Kajian menggunakan kaedah analisis kualitatif berdasarkan penelitian disiplin sejarah dan analisis kandungan. Hasil kajian mendapati pada penghujung abad ke-18, kehadiran pengaruh kolonial British menyebabkan berlakunya penstrukturan semula tadbir urus penjara tradisional yang dikuatkuasakan melalui dasar Kolonialisasi dan diasimilasikan mengikut struktur penjara tempatan. Tindakan ini menjadi titik tolak peralihan corak tadbir urus penjara tradisional kepada acuan kolonial British dan menjadi permulaan kepada sejarah sistem penjara moden di Malaysia.

Downloads

Published

2023-11-30