PARAMETER PENILAIAN ASNAF FAKIR DAN MISKIN DALAM KALANGAN PELAJAR UiTM CAWANGAN KELANTAN

Authors

  • Ahmad Murshidi Mustapha
  • Noraini Junoh
  • Nor Asmira Mat Jusoh
  • Shafiza Safie
  • Mohamad Sayuti Md Saleh

Abstract

Kajian ini mengkaji penilaian asnaf fakir dan miskin dalam konteks pelajar di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan. Penilaian asnaf ini penting dalam menentukan penerima zakat yang layak serta membantu meningkatkan kesejahteraan golongan fakir dan miskin. Hal ini kerana faktor kemiskinan antara daripada punca terbantut proses pendidikan bagi golongan asnaf. Kedudukan mereka juga tidak dapat dipastikan secara jelas dan efisyen memandangkan pelajar di intitusi pengajian tinggi berlatar belakang yang berbeza serta daripada negeri yang berlainan. Penilaian keperluan asasi sebagai pelajar perlu dilihat daripada dimensi asas dan semasa. Justeru, kajian ini mengkaji penilaian asnaf fakir dan miskin dalam konteks pelajar UiTM Cawangan Kelantan bagi memastikan golongan ini dipilih dengan pemilihan yang tepat, seterusnya membantu dalam memberi bantuan yang sewajarnya. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif dan kuantitatif dengan mengumpul data dari kajian literatur dan sumber-sumber bertulis lainnya. Soal selidik dibentuk dan disebarkan kepada 168 responden pelajar asnaf UiTM Cawangan Kelantan. Hasil dapatan menunjukkan bahawa majoriti responden adalah penerima zakat iaitu sebanyak 77.4% dan kebanyakan mereka juga menerima pinjaman pendidikan (78%). Namun, dalam konteks pendapatan, purata pendapatan pelajar adalah RM 2373.90 dan purata pendapatan keluarga adalah RM1112.99. Purata pendapatan ini lebih kecil berbanding perbelanjaan pelajar dengan purata adalah RM 2522.41 dan perbelanjaan keluarga dengan purata RM 2892.29. Kecenderungan perbelanjaan pelajar adalah melebihi daripada pendapatan mereka. Situasi ini menunjukkan cabaran kewangan yang mungkin dihadapi oleh sesetengah pelajar. Kajian ini akan membantu dalam menilai parameter bagi penilaian asnaf fakir dan miskin yang sesuai untuk pelajar asnaf UiTM Cawangan Kelantan. Dapatan ini penting dalam memastikan bantuan zakat disalurkan secara berkesan menerusi pemilihan asnaf yang layak. Selain itu, kajian ini juga memberikan panduan kepada Unit Zakat, Sedekah, dan Wakaf UiTM Cawangan Kelantan dalam membuat keputusan yang tepat mengenai penyaluran zakat.

Downloads

Published

2023-09-30