TERAPI PSIKOSPIRITUAL DALAM RAWATAN PENAGIHAN DADAH: KAJIAN KES PONDOK REMAJA INABAH 1 MALAYSIA

Authors

  • Syed Najihuddin Syed Hassan
  • Adnan Mohamed Yusoff
  • Maisarah Saidin
  • Syed Mohammad Chaedar Syed Abdurrahman
  • Abdulloh Salaeh
  • Mohd Zohdi Mohd Amin

Abstract

Isu penyalahgunaan dadah bukanlah satu fenomena baru di Malaysia malahan ia merupakan masalah antarabangsa yang membelenggu hampir kesemua negara di dunia ini. Saban tahun, penyalahgunaan dadah yang melibatkan golongan belia dilihat mengalami tren peningkatan yang amat membimbangkan. Kerajaan Malaysia melalui Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan PEMADAM telah menjalankan pelbagai usaha pencegahan serta pemulihan bagi membendung masalah ini. Malangnya, hasil yang dicapai tidak setanding dengan kos yang telah dilaburkan oleh pihak kerajaan. Masalah penyalahgunaan dadah ini, jika tidak ditangani secara serius boleh merosakkan masa depan generasi muda sekaligus memberi kesan kepada usaha pembangunan negara serta menjadi faktor penyumbang kepada peningkatan jenayah lain yang sukar dikawal seperti kes kecurian, rompakan dan pembunuhan. Kelemahan dalam aspek kerohanian dalam diri khususnya pengamalan serta penghayatan terhadap ibadah harian dilihat sebagai faktor utama yang menyebabkan seseorang individu terlibat dalam penyalahgunaan dadah. Perlaksanaan sesuatu ibadah dipercayai merupakan antara komponen terpenting dalam memulihkan diri dari ketagihan dadah. Ini kerana, pengamalan ibadah merupakan wasilah untuk mendekatkan diri dengan tuhan dan merupakan salah satu cara merawat jiwa penagih. Justeru itu, artikel ini bertujuan meninjau potensi kaedah terapi psikospritual berasaskan aspek ibadah yang dilaksanakan di Pondok Remaja Inabah 1 Malaysia. Bagi mencapai objektif tersebut, kajian yang berbentuk kualitatif ini menggunakan metode pemerhatian, temubual serta analisis teks. Dapatan kajian menunjukkan kefahaman, penghayatan dan pengamalan ibadah harian seperti mandi, solat, berzikir, berwirid dan sebagainya mampu merawat ketagihan dadah secara berterusan serta mencegah penagih untuk kembali relaps.

Downloads

Published

2023-09-30