DASAR KESEJAHTERAAN KELUARGA DALAM GOVERNAN MASYARAKAT MAJMUK SARAWAK

Authors

  • Awang Nib Zuhairi Awang Ahmad
  • Prof. Madya Dr. Hadenan Towpek
  • Dr. Mohd. Akmal Sidik

Abstract

Kesejahteraan merupakan hasil daripada usaha-usaha atau inisiatif yang diambil oleh individu dan kerajaan yang memerintah. Kesejahteraan juga merupakan agenda wajib dalam kehidupan setiap lapisan masyarakat. Setiap daripada lapisan masyarakat ini sentiasa inginkan satu kehidupan yang sempurna, bahagia dan sejahtera. Dalam konteks kesejahteraan keluarga, setiap individu dan pemerintah berperanan untuk merealisasikannya. Peranan individu dalam keluarga ialah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik dan berkesan. Manakala perintah pula berperanan dalam penggubalan serta melaksanakan dasar-dasar yang menjurus ke arah untuk membina sebuah masyarakat yang harmoni, aman, sentosa dan sejahtera lebih-lebih lagi kesejahteraan keluarga yang menjadi entiti yang membentuk masyarakat. Oleh itu, objektif artikel ini adalah untuk menganalisis dasar-dasar kesejahteraan keluarga yang telah dilaksanakan oleh governan bermasyarakat majmuk di Sarawak. Kajian kualitatif ini akan mengupas kajian menggunakan metod analisis kandungan, induktif, deduktif serta komparatif. Dasar-dasar kesejahteraan keluarga ini telah dikaji dalam lingkungan dua era kepimpinan Ketua Menteri Sarawak iaitu era pentadbiran Abdul Taib Mahmud dan Adenan Satem. Seterusnya era Premier Sarawak iaitu Abang Abdul Rahman Zohari Tun haji Openg. Artikel ini mendedahkan dapatan kajian iaitu enam belas dasar kesejahteraan keluarga telah dilaksanakan sepanjang kepimpinan tiga sosok pemerintah Sarawak ini. Kesemua dasar yang dilaksanakan oleh tiga pemimpin ini telah menjurus ke arah pembinaan kesejahteraan keluarga secara holistik. Terdapat dasar yang digubal terus memfokuskan kesejahteraan keluarga dan ada juga dasar-dasar yang dilaksanakan akan menatijahkan kesejahteraan keluarga secara langsung atau tidak langsung.

Downloads

Published

2023-09-30