PENGISYTIHARAN KAWASAN PERLINDUNGAN MARIN DAN KELANGSUNGAN HIDUP NELAYAN DI KG. SEBAYAN, KUDAT, SABAH

Authors

  • Norina Natasha Binti Ag Ijuwan
  • Jalihah Md Shah

Abstract

Aktiviti perikanan merupakan salah satu daripada aktiviti ekonomi komuniti di kawasan luar bandar Sabah. Bagaimanapun, pengisytiharan sesuatu kawasan perairan sebagai Kawasan Perlindungan Marin (MPA) telah memberi kesan terhadap mata pencarian nelayan termasuk komuniti nelayan di Kampung Sebayan, Kudat. Perkampungan nelayan ini merupakan salah sebuah kampung yang terletak di Teluk Marudu yang telah diisytihar sebagai Kawasan Perlindungan Marin (MPA) yang dikenali sebagai Taman Tun Mustapha. Teluk Marudu yang menjadi kawasan perlindungan marin (MPA) bermula tahun 2016 diharapkan boleh memulihara kepelbagaian hidupan marin serta pesisir pantai, menambahbaik sektor perikanan agar lebih mampan untuk faedah komuniti setempat termasuk membuka lebih banyak peluang industri pelancongan di negeri Sabah. Bagi komuniti di Kg. Sebayan, kewujudan Taman Tun Mustapha ini menimbulkan dilema dan memberi kesan terhadap aktiviti perikanan dan kehidupan mereka secara keseluruhannya. Kajian ke atas komuniti nelayan di Kg. Sebayan ini mendapati komuniti berhadapan dengan cabaran dalam melakukan aktiviti perikanan dan dalam masa sama mengakui peri penting memelihara hidupan marin daripada pupus. Hasil penelitian ini juga mendapati sebahagian besar daripada ahli komuniti di Kg. Sebayan tidak bersetuju dengan pengistiharan Taman Tun Mustapha. Hal ini kerana ia telah menghadkan pergerakan mereka ke kawasan menangkap ikan yang seterusnya menjejaskan pendapatan para nelayan di perkampungan ini.

Downloads

Published

2023-09-30