PENYEDIAAN PLATFORM CROWDFUNDING OLEH PERBANKAN ISLAM SEBAGAI MEDIUM KEWANGAN SOSIAL BAGI MEMPERKASAKAN GOLONGAN MISKIN RENTAN

Authors

  • Nuruul Hidayah Mansor
  • Norajila Che Man
  • Norizah Mohamed@Haji Daud
  • Mohd Faizal P. Rameli

Abstract

Golongan miskin rentan merujuk kepada golongan individu yang menjadi miskin secara tiba-tiba tanpa mereka bersedia menghadapinya. Kemiskinan rentan boleh berlaku disebabkan hilang punca pendapatan disebabkan oleh ketidaktentuan ekonomi. Antara usaha yang boleh dilakukan bagi mengatasi isu miskin rentan ini ialah dengan mengeluarkan mereka dari kemiskinan melalui aktiviti keusahawanan dan bantuan kewangan yang bersesuaian. Aktiviti perniagaan dan keusahawanan berupaya mengeluarkan seseorang individu dari kancah kemiskinan di samping dapat memberi peluang kepada golongan miskin rentan menjadi pekerja, pengeluar atau pengguna. Sehubungan dengan itu, kajian ini dilakukan bagi melihat bentuk bantuan kewangan sosial yang boleh diberikan kepada golongan miskin rentan memulakan perniagaan dan menganalisis kesesuaian penggunaan medium crowdfunding sebagai platform penyediaan bantuan kewangan oleh institusi perbankan Islam. Kajian ini akan mengadaptasi kaedah kajian eksplorasi melalui kaedah temu bual dan analisis kandungan kajian terdahulu bagi memahami konsep kemiskinan rentan di samping menilai potensi medium crowdfunding sebagai platform kewangan sosial. Hasil awal kajian mendapati aktiviti keusahawanan dapat membantu memperbaiki taraf hidup golongan miskin rentan. Justeru,penyediaan produk kewangan sosial yang bersesuaian oleh perbankan Islam dapat membantu memperkasakan kewangan sosial golongan miskin rentan ini. Penggunaan platform crowdfunding oleh perbankan Islam berupaya meningkatkan jumlah dana yang boleh dibiayai kepada usahawan mikro dari golongan miskin rentan.

Downloads

Published

2023-07-31