PENGHAYATAN ISLAM KE ARAH MEMPERKUKUH PRINSIP RUKUN NEGARA

Authors

  • Noor Aziera binti Mohamad Rohana
  • Abdul Qayuum bin Abdul Razak
  • Siti Nurul Izza binti Hashim
  • Nang Naemah binti Nik Dahalan
  • Mohd Faizal bin P.Rameli

Abstract

Malaysia telah melebihi setengah abad menyambut ulangtahun kemerdekaan. Tarikh kemerdekaan yang disambut pada setiap tahun merupakan antara identiti kepada pembentukan sebuah negara yang merdeka dan berdaulat. Usaha membentuk identiti masyarakat berbilang kaum menjadi keutamaan bagi kerajaan dalam memupuk kesepaduan nasional. Usaha ini adalah rentetan daripada peristiwa hitam negara yang berlaku pada 13 Mei 1969, iaitu kira-kira 10 tahun selepas kemerdekaan. Kerajaan Malaysia telah memperkenalkan asas perpaduan antara kaum, iaitu lima Prinsip Rukun Negara untuk membina kebersamaan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat. Setelah lebih setengah abad menjadi sebuah negara merdeka, konflik di antara kaum masih lagi berlaku dalam kalangan warganya. Matlamat kajian ini adalah menganalisis asas memperkukuh peradaban Malaysia menerusi prinsip pertama Rukun Negara menurut perspektif nilai Islam. Kajian ini juga bertujuan menjelaskan asas pembentukan peradaban Malaysia yang sinonim dengan kepelbagaian berasaskan kaum. Selain itu, kajian ini juga akan menghuraikan cabaran dan isu semasa yang berlaku di antara kaum pada era kontemporari. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif menerusi kajian-kajian penulisan awal daripada pelbagai sumber. Maklumat yang diperoleh daripada kajian kepustakaan dikumpul dan dianalisis mengikut keutamaan kajian. Hasil kajian menunjukkan Rukun Negara sebagai asas peradaban Malaysia adalah menepati usaha ke arah kesepaduan nasional. Usaha pengukuhan ini lebih bersepadu dengan wujudnya penghayatan melalui kefahaman terhadap tuntutan agama, Islam khususnya yang mengiktiraf hak asasi manusia tanpa sebarang diskriminasi berkepentingan.

Downloads

Published

2023-07-31