ANALISIS KEPERLUAN MODUL HAFAZAN AL-QURAN BERASASKAN WARNA DAN GAMBAR DALAM AKTIVITI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN KOSA KATA BAHASA ARAB DI TADIKA ISLAM MALAYSIA

Authors

  • Mohd Zaid Ismail
  • Saipolbarin Ramli
  • Salwa Amirah Awang

Abstract

Usaha pemerkasaan bahasa Arab dalam kalangan umat Islam adalah sesuatu yang sangat penting dan perlu dimulakan pada peringkat awal kanak-kanak. Menyedari hakikat ini, suatu modul hafazan al-Quran berasaskan warna dan gambar di dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab di peringkat awal kanak-kanak akan dibangunkan. Justeru, kajian ini dibuat untuk meninjau keperluan penghasilan modul dalam kalangan guru tadika Islam di Malaysia. Menggunakan satu set soal selidik sebagai instrumen, seramai 239 orang guru tadika Islam telah terlibat sebagai responden melalui kaedah persampelan kluster. Data dianalisis menggunakan analisis kuantitatif deskriptif dan juga analisis inferens iaitu ujian t sampel bebas melalui penggunaan perisian statistic IBM SPSS version 25. Dapatan menunjukkan bahawa responden mencatatkan nilai min yang tinggi bagi kesemua konstruk iaitu konstruk B; keperluan terhadap pembangunan modul hafazan al-Quran berasaskan warna dan gambar dengan nilai min 4.64, konstruk C; kaedah hafazan al-Quran berasaskan warna dan gambar sebagai faktor memudahkan pengajaran dan pembelajaran kosa kata bahasa Arab dengan nilai min 4.72, konstruk D; Rekabentuk modul hafazan al-Quran berasaskan warna dan gambar di dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab dengan nilai min 4.72 dan konstruk E; kesediaan guru dalam proses pengajaran dengan nilai min 4.35. Ujian t yang dijalankan untuk menguji hipotesis juga menunjukkan bahawa tidak ada perbezaan yang signifikan antara guru yang mempunyai ikhtisas dan yang tidak mempunyai ikhtisas bagi konstruk B, C dan D namun bagi konstruk E terdapat perbezaan yang signifikan antara kedua kumpulan ini. Secara keseluruhannya hasil kajian mendapati para guru bersetuju bahawa modul pengajaran hafazan al-Quran berasaskan warna dan gambar perlu dibangunkan kerana dapat meningkatkan pemahaman kosa kata bahasa Arab. Implikasinya, kajian ini memberi informasi berkaitan keperluan pembangunan modul pengajaran hafazan al-Quran bagi meningkatkan penguasaan bahasa Arab dalam kalangan kanak-kanak.

Downloads

Published

2023-07-31