PENGURUSAN SOLAT BAGI WANITA ḤAYḌ DALAM MADHHAB SHĀFI‘Ī: PERBAHASAN TUNAI DAN QAḌĀ’

Authors

  • Wan Fakhitah binti Wan Muhammad
  • Mohd Asyran Safwan bin Kamaruzaman
  • Mohammad Faizul bin Abdan

Abstract

Kewajipan solat ke atas wanita kekal dan tidak gugur selagi mana tidak ada perkara yang menghalangnya melaksanakan solat seperti kedatangan ḥayḍ atau nifās. Ḥayḍ merupakan fitrah yang Allah taala ciptakan ke atas perempuan dan ia adalah salah satu daripada tanda bahawa wanita itu baligh serta kewajipan seperti solat bermula ke atasnya. Hukum asal bagi wanita yang kedatangan ḥayḍ tidak wajib melaksanakan solat kerana ḥayḍ adalah Māni‘ (penghalang) bagi kewajipan solat. Solat yang ditinggalkan ketika waktu ḥayḍ tidak perlu digantikan apabila wanita itu suci. Adapun bagi solat yang belum sempat wanita tunaikan sedangkan dia didatangi dalam tempoh waktu solat fardhu maka wajib untuk dia qaḍā’ solat tersebut setelah mana suci daripada ḥayḍ. Manakala apabila ḥayḍ berhenti pada tempoh waktu solat, ia diperincikan oleh ulama adakah solat tersebut perlu digantikan dan bagaimana pula status solat fardhu yang sebelumnya juga turut dibahaskan oleh ulama. Justeru itu, objektif kajian ini adalah untuk mengetahui pengurusan solat, sama ada solat tersebut dilaksanakan secara tunai atau qaḍā’ bagi wanita ḥayḍ. Metodologi yang digunakan dalam kajian ini adalah kualitatif dan kaedah perpustakaan dengan merujuk kepada penulisan para sarjana silam dan kontemporari dalam Madhhab Shāfi‘ī, artikel, jurnal, fatwa dan berita. Hasil kajian mendapati bahawa pengurusan solat bagi wanita ḥayḍ sama ada solat tersebut perlu dilaksanakan secara tunai atau qaḍā’ perlu diberi kefahaman dan diambil cakna kerana isu ini tidak diketengahkan dan wanita tidak mengetahui hukum solat yang perlu diqaḍā’ berdasarkan Madhhab Shāfi‘ī. Kajian ini penting bagi memberi sumbangan pemikiran untuk pengembangan ilmu pengetahuan dalam bidang Fiqh Wanita di Malaysia.

Downloads

Published

2023-07-31