PENERAPAN KONSEP IHSAN DALAM PEMBANGUNAN AFEKTIF MAHASISWA

Authors

  • Nur Syazwani Othman
  • Mahfuzah Mohammed Zabidi
  • Norhapizah Mohd Burhan

Abstract

Dalam meniti arus kemodenan ini, mahasiswa merupakan harapan generasi, bangsa dan negara dalam pentadbiran dan pengurusan negara pada masa hadapan. Walau bagaimanapun, penglibatan mahasiswa dalam gejala sosial perlu dipandang serius. Pembentukan afektif memainkan peranan penting dalam pembangunan mahasiswa holistik yang seimbang dari sudut jasmani, emosi, rohani dan intelektual. Dari sudut pandangan Islam, ihsan adalah teras bagi pembentukan afektif. Hal ini demikian kerana nilai ihsan berkait rapat dengan emosi dan rohani yang berpusat pada hati (qalb) manusia yang mampu membimbing dan membentuk manusia ke arah insan baik. Artikel ini bertujuan untuk menganalisis konsep ihsan dalam pembangunan afektif mahasiswa. Kajian kualitatif ini mengaplikasikan analisis kandungan terhadap teks iaitu jurnal terpilih daripada pangkalan data atas talian dengan kata kunci ihsan dan afektif. Hasil kajian merumuskan pembentukan afektif yang berteraskan ihsan bukan sahaja membantu dari sudut pembangunan diri, akademik dan hubungan sosial sama ada dalam masyarakat mahupun di alam pekerjaan tetapi juga mendorong kepada kesejahteraan diri individu dan masyarakat. Tuntasnya, konsep ihsan ini selari dengan matlamat yang digariskan oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang memberi penekanan tentang “kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan” dalam melahirkan mahasiswa holistik.

Downloads

Published

2023-07-31