ANALISIS SEMANGAT NASIONALISME DALAM FILEM MAT KILAU: KEBANGKITAN PAHLAWAN (2022) DARI DIMENSI MAQĀṢID AL-SHARĪ’AH

Authors

  • Muhammad Zaki Ramle
  • Muhammad Adam Danial
  • Muhammad Safwan Harun

Abstract

Perjuangan mempertahankan tanah air merupakan suatu usaha yang dituntut dalam agama Islam. Seruan ini ditunjangi dengan semangat nasionalisme bagi memupuk kecintaan masyarakat terhadap negara dan bangsa serta membebaskan tanah air dari cengkaman penjajah dan ideologi asing. Dalam usaha meniupkan roh nasionalisme, industri perfileman merupakan platform yang signifikan untuk menyampaikan nilai-nilai moral dan memberi penghayatan kepada penonton. Namun filem berunsurkan semangat nasionalisme dan kenegaraan masih kurang dipersembahkan pada abad ini. Fenomena filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan telah menjadi penanda aras terhadap sokongan filem tempatan hingga mendapat sambutan yang tinggi. Dalam erti kata lain, filem ini berjaya memaparkan elemen semangat nasionalisme serta menghubungkaitkannya dengan perspektif Islam. Meskipun begitu, penghayatan terhadap semangat tersebut masih tidak tertonjol dalam khalayak penonton. Sedangkan nasionalisme dalam perjuangan Mat Kilau mempunyai relevansi yang jelas dengan agama dan nilai-nilainya. Justeru artikel ini bertujuan menganalisis semangat nasionalisme dalam filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan dari dimensi nilai-nilai sharī’ah atau diistilahkan dengan maqāṣid al-sharī’ah. Kajian ini menggunakan reka bentuk kajian kualitatif melalui analisis isi kandungan filem tersebut. Hasil kajian mendapati elemen semangat nasionalisme termasuk di bawah kategori maqāṣid ‘ammah yang meliputi nilai keamanan, nilai keadilan dan nilai kejujuran. Nilai-nilai ini memainkan peranan penting bagi memastikan aspek ḍarūriyyāt al-khams terjamin sekaligus menyemaikan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat. Sehubungan itu, usaha memartabatkan filem epik berunsurkan nilai nasionalisme perlu digiatkan dalam pelbagai bentuk genre agar ianya dapat menghasilkan karya yang bermutu tinggi untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

Downloads

Published

2023-07-31