KEMASYHURAN TAMADUN ALAM MELAYU DALAM KARYA KLASIK ARAB: KAJIAN BERDASARKAN PERKATAAN AL-ALUWWAH DALAM ṢAḤĪḤ AL-BUKHĀRĪ

Authors

  • Rusni Mohamad
  • Thuraya Ahmad

Abstract

Al-aluwwah adalah perkataan gharīb dalam teks hadith yang merujuk kepada sejenis wangian yang popular pada zaman awal Islam. Wangian tersebut diperkenalkan sebagai wangian yang berasal dari India lantaran dikaitkan dengan istilah al-Hind dalam literatur-literatur Arab. Namun, merujuk teks tersebut tanpa penelitian boleh menimbulkan salah faham kerana al-Hind tidak semestinya merujuk kepada India dan subbenuanya, bahkan juga merujuk kepada Alam Melayu. Oleh yang demikian, objektif kajian ini adalah mengkaji maksud al-aluwwah dalam riwayat hadith dan meneliti asal usulnya. Analisis riwayat dilakukan berdasarkan hadith Ṣaḥīh al-Bukhārī manakala pengesahan lokasi asal adalah berdasarkan karya pelayaran dan perdagangan Arab dari kurun ke-3H hingga ke-4H. Metodologi kajian ini bersifat kualitatif dengan bersumberkan metode dokumentasi untuk mengumpul data daripada buku, tesis, artikel dan lain-lain. Manakala pendekatan kaedah analisis kandungan dan induktif dipilih bagi mengolah data yang telah dikumpulkan. Kajian ini bermula dengan mengenal pasti maksud perkataan al-aluwwah dan latar belakangnya diikuti dengan mengumpul maklumat tentang habitat asal sebelum didagangkan ke Tanah Arab. Dapatan kajian menunjukkan bahawa al-aluwwah adalah gaharu berkualiti tinggi yang dibawa masuk ke Tanah Arab daripada Alam Melayu iaitu al-Ṣanf (Champa; Vietnam kini), al-Qamār (Khmer; berpusat di Kemboja), al-Qāqulah (Qaqulah; Tanah Seri, Semenanjung Tanah Melayu) yang dikomersialkan di al-Mandal iaitu sebuah pelabuhan di lembah sungai Mekong. Maka, istilah al-Hind yang dikaitkan dengan lafaz al-aluwwah bukan merujuk kepada negara India dan subbenuanya namun kawasan-kawasan tersebut. Perkara ini menunjukkan gaharu dari Alam Melayu amat diminati oleh bangsa Arab dan disebutkan dalam hadith kerana keistimewaannya. Maka secara langsung menunjukkan Alam Melayu adalah sebuah tamadun yang masyhur di sisi bangsa Arab dan mempunyai hubungan dengan rantau Timur Tengah sejak sebelum kedatangan Islam.

Downloads

Download data is not yet available.

Downloads

Published

2023-06-30

How to Cite

Rusni Mohamad, & Thuraya Ahmad. (2023). KEMASYHURAN TAMADUN ALAM MELAYU DALAM KARYA KLASIK ARAB: KAJIAN BERDASARKAN PERKATAAN AL-ALUWWAH DALAM ṢAḤĪḤ AL-BUKHĀRĪ. Journal of Islamic, Social, Economics and Development, 8(53). Retrieved from https://academicinspired.com/jised/article/view/1631