ILTIZAM DALAM KORPUS SASTERA ISLAMI
Abstract
Kajian ini mengetengahkan konsepsi iltizam sebagai teras utama Sastera Islami. Ia memperlihatkan iltizam yang sebenar merupakan komitmen seseorang penulis atau karyawan dalam menghasilkan penulisan atau karya selari dengan nilai dan norma Islami. Iltizam yang sebenar dalam Sastera Islami memerlukan pemahaman serta penghayatan yang padu agar ia dapat diterjemahkan dalam satu-satu hasil sastera yang menepati nilai dan norma yang dianjurkan dalam Islam. Gagasan yang terbentuk daripada nilai dan norma tersebut dapat mengetengahkan iltizam yang padu serta dapat menjadikannya sebagai cerminan sasterawan dan karyawan dalam hasil karya mereka. Justeru,iltizam merupakan isu utama yang menjadi pegangan para sasterawan dalam berkarya. Metodologi kajian tertumpu kepada perbandingan konsep iltizam dalam Sastera Islami dengan selainnya, serta pengaplikasiannya dalam sastera terbabit. Objektif kajian terarah kepada mengenal pasti konsep sebenar iltizam dalam Sastera Islami selari dengan tuntutan Islam secara teori dan praktis. Di samping itu, objektif kajian memfokuskan perbezaan dalam beriltizam yang sebenar untuk membezakan antara Sastera Islami dengan sastera yang lain. Dapatan kajian menunjukkan pengamalan serta keterlibatan seseorang penulisan atau karyawan dalam Sastera Islami memerlukan pemahaman yang menyeluruh tentang norma-norma Islami yang dianjurkan dalam Islam. Justeru, perbincangan iltizam ini merangkumi kriteria sasterawan serta hasil karyanya, di samping hubung kait kedua-duanya sebagai model iltizam yang sejati dan teristimewa berbanding dengan mana-mana sastera yang lain daripada Islam. Pemahaman serta penghasilan sastera berasaskan Islam perlu diketahui berdasarkan ajaran yang dianjurkan oleh Islam.