TINJAUAN PENERIMAAN TERHADAP ASPEK HUBUNGAN ETNIK RENTAS AGAMA DAN BUDAYA DALAM KALANGAN PELAJAR SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN AGAMA (SMKA)
Abstract
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM 2013-2025) menterjemahkan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Islam yang merencanakan pendidikan holistik sebagai asas untuk mencapai aspirasi pelajar. Objektif kajian ini adalah untuk memenuhi keperluan tersebut dengan meninjau penerimaan terhadap aspek hubungan etnik rentas agama dan budaya dalam kalangan pelajar kerana perkara ini berkaitrapat dengan aspek sahsiah, nilai dan kerohanian dalam aspirasi dihasratkan. Kajian dilaksanakan dengan menggunakan kaedah kuantitatif menerusi edaran set soal selidik. Peserta kajian adalah seramai 82 orang pelajar dari sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) di daerah Kota Kinabalu. Hasil analisis soal selidik menunjukkan penerimaan pelajar SMKA terhadap aspek hubungan etnik rentas agama dan budaya adalah baik dan memberangsangkan. Dalam aspek hubungan tersebut, para pelajar saling menghormati kepercayaan rakan-rakan berlainan agama, etnik dan budaya. Para pelajar juga bersedia untuk bergaul, melakukan aktiviti bersama, bekerjasama dan tolong-menolong dalam hal akademik dan program sekolah di samping sentiasa berusaha untuk mempelajari sesuatu yang baru dari rakan-rakan berlainan etnik dan budaya. Dapatan positif kajian ini sangat penting untuk memenuhi aspirasi PPPM 2013-2025 di samping mencapai falsafah penubuhan SMKA ke arah melahirkan pelajar berilmu pengetahuan, seimbang, cemerlang, berakhlak mulia, bertakwa serta bertanggungjawab mengamalkan cara hidup Islam demi sumbangan untuk agama, diri, ummah dan negara.