SEJARAH KEBANGKITAN ISLAM DI MALAYSIA PASCA KEMERDEKAAN: KAJIAN TERHADAP SENI SILAT CEKAK MALAYSIA

Authors

  • Mohd Miqdad Aswad Ahmad
  • Shukri Janudin
  • Zanirah Mustafa@Busu

Abstract

Kebangkitan Islam di Malaysia pasca kemerdekaan di antara tahun 1960an sehingga era 1980an sering berhadapan dengan pelbagai krisis serta kekeliruan dari aspek pemikiran, kefahaman dan amalan kerohanian. Perubahan dan peranan khusus kepada institusi silat lebih kompleks kerana silat merupakan pertubuhan yang terletak di tengah titik struktur pentadbiran dan budaya politik masyarakat Melayu seterusnya mempunyai hubungan yang terjalin dengan ruang sosial agama, sosialisasi dan pembudayaan di peringkat mikro dan juga makro. Keadaan ini turut mempengaruhi perkembangan awal ilmu persilatan Seni Silat Cekak Malaysia sepanjang tempoh tersebut. Objektif kajian ini untuk mengenal pasti sejarah kebangkitan Islam di Malaysia, kedua melihat kesan dan sumbangan oleh Seni Silat Cekak Malaysia dalam sejarah kebangkitan Islam di Malaysia. Metodologi kajian ini berasaskan kajian kualitatif dengan menggunakan pendekatan atau kaedah analisa dokumen serta temubual bersemuka bagi menganalisa beberapa fenomena dalaman dan luar negara yang berlaku sepanjang era 1960an hingga 1980an yang banyak mempengaruhi suasana dan keadaan masyarakat dan negara khususnya ketika kebangkitan Islam di tanah air dan sejauh mana ilmu persilatan Silat Cekak yang diterajui oleh Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) telah memenuhi keperluan kebangkitan tersebut. Kajian turut memperlihatkan sejarah penglibatan Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia di dalam proses pembangunan dan pemerkasaan komuniti Melayu-Muslim di negara ini. Hasil kajian ini telah menunjukkan ciri-ciri serta faktor yang menunjukkan Seni Silat Cekak Malaysia telah menjadi penggerak mengisi ruang-ruang dalam proses kebangkitan Islam di Malaysia pasca kemerdekaan. Pembuktian kajian ini boleh dijadikan acuan awal kepada kajian-kajian seumpamanya pada masa hadapan berkaitan dengan sejarah kebangkitan Islam di Malaysia sepanjang pasca kemerdekaan yang kemudiannya mempengaruhi perkembangan seni silat Melayu di negara ini.

Downloads

Published

2023-06-30