KEMISKINAN HAID: KAJIAN TERHADAP KESEDARAN DAN KEFAHAMAN PELAJAR UITM CAWANGAN NEGERI SEMBILAN KAMPUS SEREMBAN
Abstract
Perbincangan berkenaan kemiskinan haid adalah suatu yang agak sensitif di Malaysia. Isu ini masih didiskriminasi sebagai taboo ataupun pantang larang kerana ia dianggap tidak sesuai untuk dijadikan perbahasan secara terbuka. Ini menyebabkan sebahagian masyarakat agak ketinggalan dalam memahami isu yang berkait dengan kemiskinan haid ini. Artikel ini bertujuan untuk menganalisis terma ‘kemiskinan haid’ ini dari sudut konsep dan perbahasan hukum Islam serta kefahaman dan kepekaan masyarakat terhadap isu ini Kajian ini menggunakan metod analisis dokumen dengan merujuk kepada penulisan yang berkait dengan kemiskinan haid. Tinjauan dalam bentuk soal selidik melalui google form juga telah diedarkan kepada pelajar UiTM Negeri Sembilan Kampus Seremban untuk mendapatkan maklumat sejauh mana kefahaman mereka terhadap permasalahan kemiskinan haid ini. Kajian ini mendapati bahawa isu kemiskinan haid ini agak kurang dibincangkan secara terbuka disebabkan istilah ini dianggap sensitif yang hanya berkait dengan kaum wanita sahaja. Berkemungkinan stigma masyarakat sendiri yang beranggapan bahawa perbahasan berkaitan haid ini jika dibicarakan di khalayak ramai akan menimbulkan rasa segan dan malu di kalangan anggota masyarakat samada kaum wanita sendiri mahupun lelaki. Kefahaman masyarakat juga masih rendah apabila data kajian menunjukkan daripada 61 orang respondan membabitkan pelajar UiTM Kampus Seremban, hanya 38 orang pelajar (62.3%) sahaja yang mempunyai pengetahuan atau pernah mendengar istilah kemiskinan haid ini. Kajian ini penting untuk meningkatkan kefahaman masyarakat berkenaan dengan kemiskinan haid ini. Dalam masa yang sama boleh membuka ruang perbahasan ilmiah dan mencari jalan penyelesaian menangani isu kemiskinan haid oleh pihak yang berkepentingan dan berautoriti.