HUBUNGAN KESULTANAN MELAYU MELAKA DAN KERAJAAN TURKI UTHMANIYAH ABAD 14 HINGGA 19

Authors

  • Syaimak Ismail
  • Noor Syahidah Mohamad Akhir
  • Azhar Abdul Rahman

Abstract

Hubungan Tanah Melayu dengan Kerajaan Turki Uthmaniyah telah bermula sejak daripada zaman Kesultanan Melayu Melaka sekitar abad ke 15 dan hubungan ini tidak pernah terhenti sehingga kedatangan penjajah. Pada peringkat awal hubungan ini lebih kepada hubungan politik dan ekonomi. Kedua-dua kerajaan ini dilihat sebagai kuasa agung Islam yang menyinari benua Eropah dan Asia. Beberapa siri lawatan juga telah dilakukan oleh Sultan Melaka ke Turki bagi mengeratkan lagi hubungan dua kerajaan ini bahkan Sultan Melaka sendiri telah memberikan baiah sumpah setia kepada Kerajaan Turki Uthmaniyah dan berjanji untuk mempertahankan agama Islam di kawasan Asia. Setelah kejatuhan Melaka, Kerajaan Turki Uthmaniyah sentiasa memberikan bantuan peperangan melalui Aceh dengan tujuan untuk membantu Melaka mendapatkan semula kerajaan yang dirampas itu. Menjelang abad ke 18, Kerajaan Turki Uthmaniyah dilihat banyak memberikan pengaruh positif dalam membentuk perkembangan pemikiran dan perjuangan masyarakat Melayu untuk menentang penjajahan bahkan masyarakat Melayu menjadikan Kerajaan Turki Uthmaniyah sebagai model untuk membebaskan Tanah Melayu daripada ancaman Barat. Makalah ini akan melihat hubungan awal yang terjalin diantara Kerajaan Melayu Melaka dan kesinambungan kepada hubungan ini terutamanya daripada aspek politik serta bentuk pengaruh yang berjaya menjadi pemangkin kepada semangat orang Melayu untuk terus bangkit mempertahankan Tanah Melayu daripada ancaman luar. Hubungan Melaka dan Turki ini dibahagikan kepada tiga fasa dan memberi fokus kepada penganalisaan terhadap dokumentasi selain menerapkan metod deskriptif dalam penulisan. Hasil kajian mendapati hubungan Tanah Melayu dengan Kerajaan Turki tidak pernah terputus bahkan berterusan sehingga kejatuhan khilafah Islamiyah pada tahun 1923. Selain itu, Turki Uthmaniyah dilihat sebagai sebuah kerajaan Islam besar yang harus ditaati oleh orang Melayu kerana bertindak sebagai kuasa yang sentiasa menjaga Islam dan negara-negara Islam.

Downloads

Published

2023-06-30