PERANAN KERAJAAN NEGERI PAHANG DALAM MEWUJUDKAN PROGRAM TAFAQQUH FIDDIN SEBAGAI SISTEM PENDIDIKAN ISLAM FORMAL DI MASJID-MASJID DI PAHANG: SUATU SOROTAN
Abstract
Masjid sebagai tempat pelaksanaan ibadat-ibadat ritual kini telah dimanfaatkan menjadi sebuah tempat pelaksanaan program-program pendidikan Islam. Kajian ini akan membahas bagaimana peranan kerajaan Negeri Pahang dalam mewujudkan program-program pendidikan Islam secara formal khusus untuk masjid-masjid di Pahang. Secara umumnya, kajian ini adalah berorientasikan kepada kajian asas atau pure research yang bertujuan untuk memahami subjek yang dikaji. Data kajian pula adalah berbentuk kualitatif deskriptif. Subjek kajian terdiri daripada pihak Yayasan Pahang yang mewakili kerajaan Negeri Pahang selaku urusetia, para pelajar Tahap 1 Tafaqquh Fiddin dan urusetia pengelola di masjid-masjid. Hasil kajian mendapati bahawa kerajaan Negeri Pahang sangat serius untuk mewujudkan kelas-kelas pengajian agama berbentuk formal di masjid. Hal ini tersebut terbukti dengan jadual pengajian Tafaqquh Fiddin yang padat pada setiap minggu pengajian. Silibus matapelajaran yang dijadualkan memiliki beberapa disiplin keilmuan Islam seperti fiqih, tafsir, tauhid, sirah dan matapelajaran yang lain. Pelaksanaan program Tafaqquh Fiddin ini adalah pada setiap hujung minggu iaitu hari Sabtu dan Ahad yang dibimbing oleh guru-guru bertauliah. Program Tafaqquh Fiddin ini mendapat respon yang positif berbentuk sokongan dari para jemaah.