HUKUM FIQH DALAM JUAL BELI TANAH LOT LIDI: SATU ANALISIS AWAL

Authors

  • Roshaimizam bin Suhaimi
  • Mohd Marbawi bin Taha
  • Jasni bin Sulong
  • Mohd Badrol bin Awang
  • Norliana binti Ismail

Abstract

Jual beli tanah adalah satu kelaziman dalam masyarakat Malaysia. Ini termasuklah jual beli tanah lot lidi yang merupakan satu kaedah pembelian dan pemilikan hartanah yang diamalkan. Namun demikian, wujud isu-isu berkaitan pemilikan dan kemampuan untuk serahan tanah yang dijual kepada pembeli kerana adanya halangan perundangan. Pendaftaran dan pindahmilik tanah lot lidi tidak dibenarkan sama sekali di sisi undang-undang walaupun urusan jual beli telah selesai. Bahkan, sehingga hari ini belum wujud sebarang keputusan mahkamah yang jelas berhubung tuntutan pemilikan bagi perkara tersebut. Ini boleh dirumuskan bahawa kemampuan untuk memperolehi pemilikan melalui kes turunmilik adalah bersifat masih belum pasti kerana wujud pelbagai andaian seperti kematian pembeli terlebih dahulu, cabaran atau pertikaian oleh waris penjual terhadap penuntut tanah itu di mahkamah dan lain-lain andaian yang mungkin berlaku. Isu-isu tersebut telah mengundang kepada wujudnya elemen gharar dalam jual beli tanah lot lidi disebabkan ketidak mampuan untuk dilaksanakan serahan secara pasti. Berdasarkan perspektif undang-undang, penyerahan tanah dilakukan melalui sistem pendaftaran yang memerlukan setiap pindah milik didaftarkan. Perkara tersebut boleh diqiyaskan dengan penyerahan hakmilik secara fi'lan (realiti) dalam fiqh kerana matlamat syariat iaitu jaminan hak sudah tercapai melalui pelaksanaan sistem berkenaan. Berdasarkan undang-undang tanah Malaysia yang berasal dari sistem Torrens, pemilikan hartanah seseorang dikira tidak boleh disangkal apabila pemilikannya didaftarkan dalam dokumen hakmilik. Namun, pendaftaran dan pemilikan tidak berlaku dalam jual beli tanah lot lidi. Justeru, bagi meneliti isu tersebut dari sudut fiqh maka kajian ini dijalankan sebagai satu landasan akhir kepada permasalahan hukum bagi jual beli tanah lot lidi. Bagi mencapai objektif kajian juga, kaedah kajian kepustakaan digunakan bagi menganalisis karya-karya fiqh dan kajian semasa berkaitan bidang kajian. Oleh itu, di akhir kajian ini dapat memberikan gambaran jelas isu dan permasalahan yang timbul dalam jual beli tanah lot lidi dari sudut fiqh yang seterusnya mampu menyediakan satu penyelesaian tuntas bagi mengatasi masalah tersebut.

Downloads

Published

2023-03-31