ADAT KEMATIAN MASYARAKAT ISLAM DI SABAH: ANALISIS DARI PERSPEKTIF ISLAM

Authors

  • Azmin Pullong
  • Saifulazry Mokhtar
  • Mohd Sohaimi Esa

Abstract

Sabah terkenal sebagai sebuah negeri yang kaya dengan khazanah budaya masyarakatnya. Kepelbagaian khazanah budaya yang lestari ini adalah simbolik solidariti dan keprihatinan warganya dalam memelihara warisan bernilai secara konsisten sebagai tatapan generasi akan datang. Dalam konteks adat kematian, masyarakat Islam di Sabah juga mengaplikasikan adat-adat kematian yang lazim diamalkan oleh orang Melayu dan masyarakat Islam yang lain. Namun, terdapat beberapa amalan yang dikongsi secara bersama, berbentuk eksklusif dan menarik untuk ditonjolkan. Kajian ini bertujuan untuk mengkaji beberapa adat kematian masyarakat Islam di Sabah. Sebagai sebuah masyarakat Islam, keabsahan terhadap pelbagai praktik adat perlu dilakukan sama ada amalan tersebut menepati kehendak syarak mahupun sebaliknya. Oleh itu, kajian ini tampil untuk menganalisis amalan adat kematian masyarakat Islam di Sabah dari perspektif Islam. Kajian ini seterusnya tampil sebagai wadah dan panduan masyarakat Islam dalam menepis pelbagai amalan yang bercanggah dengan syariat. Kajian ini berbentuk kualitatif yang menggunakan kaedah temu bual dan observasi (pemerhatian turut serta) dalam proses pengumpulan data. Informan yang dipilih adalah terdiri daripada golongan tua, ketua adat yang disifatkan sebagai orang yang berpengalaman luas dalam hal berkaitan adat. Kajian ini mendapati, masih terdapat amalan adat kematian yang bercanggah dengan Islam. Perlu kepada pengubahsuaian amalan terbabit agar ia dilihat sebagai sebuah amalan adat yang berbentuk mesra syariat. Aplikasi amalan penyediaan tempat tidur roh si mati dan upacara melintas di bawah keranda perlu kepada beberapa modifikasi agar ia terzahir sebagai amalan menepati syarak. Bagi amalan yang menepati kehendak syarak, ia perlu disuburkan sebagai sebuah budaya bernilai generasi terdahulu.

Downloads

Published

2023-03-31