SEMANTIK LIRIK TABIK-TABIK DALAM UPACARA SEWANG MASYARAKAT ORANG ASLI
Abstract
Seni persembahan yang wujud di Kampung Terbol, Pahang kurang diketahui oleh orang luar dan juga suku kaum mereka sendiri terutama berkaitan semantik lirik lagu yang digunakan semasa upacara persembahan Sewang (Niksoi) dilakukan. Kajian ini berfokuskan kepada lirik lagu Tabik-tabik yang dipersembahkan dalam upacara Sewang Menyambut Tetamu Masyarakat Orang Asli Suku Kaum Jah Hut. Lirik yang digunakan adalah sepenuhnya menggunakan bahasa kiasan kaum Jah Hut sehinggakan masyarakat mereka sendiri juga kurang memahami akan bait perkataan yang disampaikan. Oleh itu, kajian ini memberi fokus kepada terjemahan makna dalam bahasa Melayu Moden yang mudah difahami untuk semua lapisan masyarakat pada masa kini. Selain itu, kajian ini turut menganalisis setiap makna yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu Moden kerana terjemahan yang dilakukan adalah berdasarkan kepada tahap kefahaman masyarakat sekarang. Menggunakan pendekatan etnografi, masyarakat Orang Asli Suku Kaum Jah Hut daripada pelbagai peringkat umur dipilih sebagai sampel. Tiga jenis instrumen kajian digunakan iaitu pemerhatian secara terus, soal selidik kepada 20 orang responden yang terdiri daripada belia suku kaum Jah Hut dan temu bual bersama pengamal upacara Sewang di Kampung Terbol, Pahang. Hasil kajian menunjukkan bahawa setiap bait lirik lagu Tabik-tabik mempunyai makna tersirat dengan penggunaan bahasa asal. Dapatan kajian juga menunjukkan terdapat penggunaan simbol dalam bait lirik lagu Tabik-tabik yang dipersembahkan dalam upacara Sewang Menyambut Tetamu seperti simbol alam. Secara kesimpulannya, kajian ini menunjukkan bahawa masyarakat Orang Asli Suku Kaum Jah Hut mempunyai keunikan bukan sahaja daripada cara hidup mereka tetapi juga gaya persembahan mereka yang unik dalam upacara Sewang.