RESPON KOMUNITI LUAR BANDAR TERHADAP KESAN SOSIO-EKONOMI PANDEMIK COVID-19 DI SABAH

Authors

  • Ubong Imang
  • Colonius Atang
  • Mustapa Abd Talip
  • Adi Jafar

Abstract

Pandemik COVID-19 memberi kesan kepada kehidupan penduduk tanpa mengira sempadan dan tempat. Artikel ini bertujuan untuk meneliti respon komuniti luar bandar terhadap kesan sosio-ekonomi pandemik COVID-19 yang mereka alami terutama semasa perintah kawalan pergerakan sedang dilaksanakan. Kampung Kiau Nuluh dipilih sebagai kawasan kajian. Seramai 41 orang responden dari kampung Kiau Nuluh dilibatkan dalam kajian tinjauan melalui borang soal selidik yang diedarkan. Hasil kajian mendapati, komuniti di kawasan kajian mengalami kesan sosio-ekonomi pandemik COVID-19. Antara kesan sosioekonomi yang dialami adalah sumber pendapatan mereka terjejas, hasil pertanian tidak dapat dijual, bekalan makanan terputus, persekolahan anak-anak terjejas dan mereka sukar berhubung dengan ahli keluarga dan rakan taulan. Respon komuniti di kawasan kajian adalah bersifat kolektif dalam mendepani kesan sosio-ekonomi pandemik COVID-19. Mereka secara bersama membangunkan kapasiti dalaman dalam mendepani kesan sosio-ekonomi pandemik COVID-19 dengan memberi komitmen dan kerjasama kepada usaha membendung penularan COVID-19 di kawasan mereka dan mencari alternatif penyelesaian jangka pendek kepada masalah sosio-ekonomi yang dihadapi ketika pandemik COVID-19. Respon pada peringkat individu untuk meminimakan kesan sosio-ekonomi pandemik COVID-19 adalah pelbagai seperti menceburi perniagaan atas talian untuk menambahkan pendapatan, memproses hasil tanaman supaya tahan lama, berjimat cermat dalam perbelanjaan, menceburi aktiviti baru dan mengusahakan tanah pertanian untuk tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan. Hasil kajian ini membuktikan kepentingan untuk mengukuhkan aspek pembangunan sosio-ekonomi setempat. Potensi sumber tempatan, kemahiran dan kebolehan penduduk tempatan perlu dikenalpasti, dirancang dan seterusnya dibangunkan secara optimum. Selain itu, pembangunan infrastruktur dan sistem jaringan sosial dan ekonomi dengan kawasan luar perlu juga diperkukuhkan. Ini penting dalam usaha meminimakan kesan pandamik seperti COVID- 19 ke atas kesejahteraan sosial dan ekonomi komuniti luar bandar pada masa yang akan datang.

Downloads

Published

2022-09-30