KESESUAIAN BEKERJA DARI RUMAH: MASALAH DAN CABARAN GURU-GURU DI SABAH

Authors

  • Marsitah Mohd Radzi
  • Dzurizah Ibrahim
  • Oliver Valentine Eboy

Abstract

Dalam rangka mencegah penularan wabak COVID-19 dalam kalangan pelajar dan warga pendidik, Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengarahkan bekerja dari rumah di semua peringkat pendidikan, bermula dari tadika hingga lah ke institusi pengajian tinggi. Aktiviti bekerja dari rumah dilaksanakan bagi memutuskan rantaian COVID-19 dalam sektor pendidikan. Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2020, dikeluarkan oleh kerajaan yang bertujuan untuk melaksanakan keputusan kerajaan berkaitan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) bagi pegawai perkhidmatan awam persekutuan. Sehubungan dengan itu, kertas kerja ini bertujuan menganalisis kesesuaian bekerja dari rumah semasa era pandemik COVID-19 berdasar kajian kes guru-guru di Sabah. Masalah dan cabaran yang dihadapi oleh para guru dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran turut dikupas secara terperinci. Seramai 157 orang guru sekolah rendah dan menengah yang bermastautin di Sabah telah menjawab soal selidik yang diedarkan dalam bentuk google form. Pendekatan kuantitatif telah digunakan untuk menganalisis jawaban 157 orang guru dengan menggunakan perisian Statistical Package for Social Sciences (SPSS). Data dipersembahkan dalam bentuk statistik mudah, dianalisis secara deskriptif yang melibatkan penjadualan silang, frekuensi, peratusan dan min. Dapatan kajian dihuraikan berdasarkan Teori Pilihan Rasional yang dikemukakan oleh James Coleman 1986. Teori ini menjelaskan bahawa pada asasnya tindakan individu membawa kepada matlamat dan matlamat itu adalah tindakan yang ditentukan oleh nilai atau pilihan. Coleman menyatakan bahawa ia memerlukan konsep yang tepat tentang individu rasional yang memilih tindakan yang dapat memaksimumkan kehendak dan keperluan mereka. Terdapat dua elemen utama dalam teori Coleman iaitu pelaku dan sumber. Dalam kajian ini, walaupun peratusan yang besar guru-guru memilih untuk suka (52.9%) dan selesa (55.5%) bekerja dari rumah, namun begitu 66.9% dalam kalangan guru yang menjawab soalan, mengakui tidak mudah untuk bekerja dari rumah memandangkan sifat kerja mereka yang memerlukan mereka berhadapan secara bersemuka dengan para pelajar untuk meningkatkan kefahaman pelajar semasa proses pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan. Antara masalah yang dihadapi oleh guru-guru yang bekerja dari rumah adalah untuk memisahkan urusan peribadi dan urusan kerja. Ini menyebabkan sekiranya diberi pilihan, sebahagian besar daripada guruguru memilih untuk bekerja di pejabat berbanding bekerja dari rumah. Cabaran utama yang dihadapi oleh guru-guru apabila diarahkan untuk bekerja dari rumah, sebahagian besar daripada mereka menjelaskan masa yang diperuntukkan untuk bekerja lebih banyak apabila di rumah berbanding masa bekerja di pejabat. Ini menyebabkan ramai yang mengatakan mereka perlu menyiapkan pekerjaan hingga larut malam dan ada yang mengambil masa hujung minggu untuk menyediakan bahan-bahan bagi pengajaran dan pembelajaran secara atas talian. Dapat dirumuskan pilihan rasional yang dilakukan oleh guru-guru lebih kepada mematuhi arahan yang diterima adalah disebabkan oleh sifat kerja sebagai guru yang memerlukan mereka bersemuka dengan para pelajar.

Downloads

Published

2022-09-30