HINDARI COVID-19 DENGAN AMALAN KEBERSIHAN DIRI MENGIKUT SYARIAT ISLAM

Authors

  • Zainab Hisham
  • Nik Zam Nik Wan
  • Nurhidayah Muhammad Hashim
  • Noraini Junoh
  • Nik Muniyati Nik Din
  • Zulkarnain Yusoff
  • Zanirah Mustafa@Busu

Abstract

Penekanan terhadap kebersihan diri adalah merupakan asas iman yang perlu dititikberatkan oleh setiap individu Muslim. Secara umumnya kebersihan terbahagi kepada dua bahagian iaitu kebersihan zahir dan kebersihan batin. Ditekankan di sini adalah berkenaan dengan kebersihan zahir iaitu meliputi kebersihan diri, pakaian serta persekitaran. Islam mewajibkan umatnya mempraktikkan penjagaan kebersihan pada setiap masa baik di dalam ibadat mahupun di luar ibadat. Kebersihan diri dalam ibadat adalah membersihkan diri dan badan sebelum memulakan ibadat iaitu dengan berwudhuk, mandi janabah dan istinja’. Adapun kebersihan diri di luar ibadat adalah mencuci tangan dan mulut serta membersihkan gigi (bersiwak). Amalan ini telah pun diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada umat terdahulu sejak kedatangan Islam lagi. Sejak kedatangan wabak COVID-19, norma baharu telah diperkenalkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO). Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berusaha menyarankan pelbagai langkah dalam membendung penularan wabak berbahaya ini dengan menetapkan beberapa garis panduan kepada masyarakat yang secara tidak langsung berkait rapat dengan amalan kebersihan diri yang disarankan oleh Islam. Pematuhan SOP dan amalan kebersihan perlu diberi perhatian yang tinggi. Individu yang tidak menjaga kebersihan diri dan persekitaran lebih mudah terkena jangkitan contohnya seperti penyakit denggi. Persekitaran yang tidak bersih menyumbang kepada penularan wabak penyakit (Azwatee & Normaliza, 2021). Begitu juga dengan Coronavirus ia mudah tertular melalui tangan yang tidak dibersihkan bila mana ianya menyentuh mata, mulut dan hidung dengan permukaan yang telah dijangkiti. Oleh itu, masyarakat muslim perlu memastikan kebersihan diri mereka terjaga sebagaimana yang disyariatkan oleh Islam dalam membendung penularan COVID-19. Kajian ini bertujuan untuk menggariskan penjagaan kebersihan diri mengikut syariat Islam yang boleh dijadikan amalan oleh masyarakat Islam bagi mencegah jangkitan COVID-19. Hasil kajian ini boleh diguna pakai sebagai panduan oleh seluruh masyarakat Malaysia dari pelbagai peringkat usia kerana ianya merupakan amalan harian seorang Muslim. Kajian ini menggunakan pendekatan kajian penelitian deskriptif deduktif dan induktif kualitatif. Penelitian kepustakaan dilakukan melalui kitab-kiab turath, buku, artikel, jurnal, dan internet. Selain itu, dengan melakukan studi pengamatan dari penelitian-penelitian kajian sebelumnya serta pandangan-pandangan ulama muktabar Hasil yang ditemukan adalah mengenai pentingnya kefahaman dan amalan kebersihan yang dianjurkan oleh doktrin agama Islam berlandaskan syariat. Melalui penulisan ini juga, langkah-langkah serta garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta amalan harian yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW perlulah diambil cakna untuk memperkemaskan lagi amalan kebersihan diri sebagai tanggungjawab dan kewajipan seorang muslim dalam mendepani norma baharu bagi mencegah jangkitan sebarang penyakit termasuk COVID-19.

Downloads

Published

2022-09-30