PENETAPAN REBAT SECARA MULZIM DALAM PEMBIAYAAN JANGKA PANJANG MENURUT PERSPEKTIF MAQASID AL-SHARIAH
Abstract
Pengamalan rebat pembiayaan yang sekadar budi bicara atau pemasukan syarat tanpa mengikat telah menimbulkan polemik di kalangan pelanggan terutamanya apabila kebajikan mereka tidak dijamin menerusi penyelesaian awal (early settlement) dari tempoh asal pembiayaan jangka panjang yang dilakukan. Impaknya, persoalan keraguan mengenai berapa kadar tuntutan yang selayaknya diperolehi pelanggan serta kebajikan pelanggan sekiranya rebat tidak diberikan. Objektif kajian ialah mengkaji konsep rebat yang dilaksanakan secara mulzim menurut perspektif maqasid al-shariah. Metodologi kajian ini ialah reka bentuk kualitatif yang menggunakan pendekatan kajian kepustakaan dan kaedah analisis dokumen serta kandungan bagi mendapatkan data-data yang diperlukan sama ada dari sumber primer atau sekunder. Kajian dimulakan dengan mengenalpasti pandangan para sarjana Islam mengenai status rebat dari sudut muamalat dan seterusnya menganalisis isu semasa berkaitan pemberian rebat menurut perspstif maqasid al-shariah. Dapatan kajian yang diperolehi ialah pemberian rebat secara mulzim dalam instrumen pembiayaan jangka panjang oleh perbankan Islam merupakan satu bentuk kadar fleksibeliti keuntungan jualan bertangguh yang menjaga kebajikan kedua-dua belah pihak sama ada pihak bank dan juga pelanggan. Walaupun pada permulaan akad telah ditetapkan kadar jualan secara penuh namun dengan pemberian rebat yang dilakukan secara mulzim menjadikan kadar yang fleksibel menurut perspektif maqasid al-shariah berbanding sebelum ini yang dilakukan secara budi bicara atau yang tidak mengikat kedua-dua pihak. Kesimpulannya, implimentasi rebat secara mulzim amat penting dalam mewujudkan keseimbangan menerusi kadar fleksibeliti dalam keuntungan jualan bertangguh.