KECEKAPAN PENGURUSAN ZAKAT DI UiTM
Abstract
Zakat berperanan membantu asnaf di Universiti Awam (UA) khususnya di Universiti Teknologi MARA Cawangan Kedah. Kewujudan unit zakat UiTM Kedah seterusnya di bawah pentadbiran Koordinator Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZASWA) di UiTM Kedah telah berjaya meringankan beban asnaf melalui agihan zakat setiap semester. Namun isu-isu seperti ketidakcekapan pengurusan zakat serta penyelewengan dana zakat membayangi pemikiran masyarakat seterusnya membentuk persepsi negatif kepada institusi zakat itu sendiri. Bertitik tolak daripada itu, Unit Zakat UiTM Kedah perlu menekankan elemen kecekapan dalam pengurusan zakatnya terutama dalam usaha mengurangkan bebanan asnaf sewaktu Pendemik Covid 19. Berlatar belakangkan fenomena ini, kajian ini bertujuan untuk mengetengahkan kecekapan pengurusan zakat di UiTM Kedah. Metodologi yang digunakan bagi kajian ini adalah pengumpulan data melalui analisis sumber dokumen dan secara temu bual mendalam terhadap pengurus zakat yang dilantik untuk menguruskan kutipan dan agihan zakat UiTM Kedah. Data yang diperoleh dianalisis menggunakan kaedah analisis kandungan. Hasil kajian mendapati semenjak penubuhan unit zakat UiTM Kedah sehingga kini pelbagai bantuan telah diberikan kepada asnaf dalam bentuk kewangan dan juga bukan kewangan. Dalam pada itu, hubungan baik yang terjalin dengan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) juga banyak membantu dalam usaha memantapkan pengurusan unit zakat. Hasil juga mendapati penambahbaikan dalam bahagian kutipan dan agihan telah membawa kepada peningkatan kutipan zakat, sekaligus memberi peluang yang lebih luas kepada asnaf.