MADRASAH AL-ISLAMIAH KUCHING, SARAWAK: SATU KAJIAN HISTORIKAL
Abstract
Sejarah menunjukkan bahawa pengajian madrasah merupakan institusi pendidikan Islam terawal ditubuhkan di Malaysia. Pengkaji mengenalpasti salah sebuah madrasah yang ditubuhkan pada awal abad ke-20 dan terkenal di negeri Sarawak pada hari ini. Madrasah tersebut ialah Madrasah Al-Mursyidiyah atau lebih dikenali sebagai Madrasah Al-Islamiah Kuching yang telah diasaskan oleh Datu Hakim Imam Abang Haji Morshidi bin Abang Haji Naruddin @ Nuruddin merupakan pengasas kepada Majlis Syuyukh Islam yang kemudiannya dikenali sebagai Majlis Islam Sarawak. Justeru, madrasah tersebut penting untuk dikaji bagi mengenalpasti akan sejarah awal penubuhannya dan sistem pengajiannya. Walaupun wujud kajian lepas yang mengkaji mengenai madrasah tersebut, akan tetapi kajian tersebut tidak menyentuh mengenai aspek sejarah penubuhan dan juga sistem pengajiannya secara lebih mendalam dan perkembangan semasa. Oleh itu, objektif artikel ini menganalisa sejarah dan perkembangannya sehingga melahirkan para ulama’. Metodologi penulisan artikel ini ialah menggunakan metod kesejarahan. Menurut Kuntowijoyo (1995) metod kesejarahan ini mempunyai empat tahapan iaitu tahap pengumpulan data iaitu heuristik. Kemudian tahapan kedua ialah kritik internal (kritik isi dan fakta sejarah) dan kritik eksternal iaitu (kritik tulisan, kertas, ink dakwat dan lain-lain). Tahapan ketiga ialah intepretasi data sehingga menjadi fakta sejarah yang kukuh dan argumentasi yang kuat. Tahapan yang terkahir sekali ialah ialah histografi iaitu penulisan sejarah berdasarkan fakta-fakta yang diintepretasi secara komprehensif tanpa menimbulkan sebarang prejudis terhadap fakta sejarah. Hasil kajian menunjukkan bahawa berdasarkan kelangsungan madrasah terbahagi kepada empat period masa yang berbeza iaitu tahap kemunculan, kegemilangan, kemuduran dan pemulihan. Aspek kurikulum pendidikan yang dilaksanakan oleh Madrasah Al-Islamiah Kuching pula terdapat perbezaan yang jelas dalam bentuk pendidikannya sama ada di era awal kemunculannya, pertengahan dan mutakhir ini.