PENGURUSAN PEMBANGUNAN HARTANAH WAKAF DI PULAU PINANG
Abstract
Wakaf merupakan sebahagian daripada mekanisme pembangunan sosio-ekonomi sesebuah negara. Pengurusan dan pentadbiran harta wakaf di Malaysia dipertanggungjawabkan kepada Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) sebagai pemegang amanah tunggal harta wakaf di negeri masing-masing. Namun begitu, wujud permasalahan dalam pembangunan harta wakaf kerana kebanyakan harta wakaf terutamanya tanah tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi menjana pendapatan. Sedangkan pembangunan ke atas harta wakaf secara holistik mampu memberi manfaat yang lebih banyak kepada masyarakat dan negara. Perkara ini telah dibuktikan oleh Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP) yang berjaya membangunkan tanah wakaf secara produktif dan mampu menjana pendapatan daripada manfaat pembangunan yang dilaksanakan. Sebagai contoh pembinaan perumahan wakaf Seetee Aisah di Seberang Jaya, Pulau Pinang dan Pangsapuri Khan Mohammed, Georgetown, Pulau Pinang. Persoalan yang timbul apakah kaedah pembangunan perumahan wakaf yang telah dilaksanakan dan strategi pembangunan yang diamalkan oleh MAINPP?. Ekoran daripada inilah kajian ini dilakukan untuk menganalisis kaedah dan strategi yang dilaksanakan oleh MAINPP dalam pembangunan hartanah wakaf di Pulau Pinang. Kajian ini dilakukan secara kualitatif melibatkan pengumpulan data primer dan sekunder. Data primer diperoleh melalui temu bual mendalam terhadap pengamal wakaf dan ahli akademik. Data sekunder pula diperoleh melalui penelitian terhadap sumber dokumen seperti tesis, buku, jurnal, majalah dan sebagainya. Analisis ATLAS.ti Versi 8.0 digunakan untuk membantu analisis data. Hasil kajian diharapkan dapat dijadikan panduan dan rujukan oleh MAIN di negeri lain agar dapat membangunkan tanah wakaf secara produktif dengan sistem tadbir urus yang efisen sebagaimana diamalkan oleh MAINPP.